KUALA LUMPUR: Lima anggota polis antara enam individu diberkas dipercayai terlibat melarikan seorang lelaki dalam kejadian di sebuah kedai makan di Desa Petaling, Cheras di sini pada Selasa lalu.
Pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki warga tempatan pada 5.48 petang, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, siasatan awal dijalankan membawa kepada tangkapan enam lelaki warga tempatan yang mana lima daripadanya merupakan anggota polis.
“Kesemua suspek yang diberkas sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Cheras itu berumur lingkungan 27 hingga 42 tahun.
“Siasatan berkaitan kes ini masih lagi dijalankan dan kertas siasatan yang lengkap akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan arahan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 365, 342 dan 323 Kanun Keseksaan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran awam.
“Sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini, orang ramai
boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala
Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” katanya.- UTUSAN