AMPANG: Komposer yang kini bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Altimet menepis persepsi segelintir warganet yang menganggap tindakan anak seni meminta Dana Kandungan Digital (DKD) sebagai mengemis.
Altimet atau nama sebenarnya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad berkata, dana tersebut adalah satu inisiatif dan pendekatan kerajaan untuk membantu mereka yang memerlukan dalam bidang tertentu.
“Dalam hal dana dan bantuan ini, tiada unsur mengemis. Kalau artis yang memohon dikategorikan mengemis jadi apa status peladang, nelayan yang juga memohon dana kerajaan?
“Mungkin ada orang kurang senang kerana artis yang memohon tersebut popular, tetapi mereka (netizen) kena lihat apa yang artis itu persembahkan.
“Kita perlu lihat dari sudut lebih besar. Adakah pemberian dana itu dapat membawa pulangan atau tidak terutama dari segi kewangan mahu pun impak kepada industri,” katanya.
Penyanyi Amboi itu ditemui dalam program Perarakan Konvoi Kembara Kasih Grand Maulidurrasul anjuran Galeri Raudhah di sini semalam.
Terdahulu, penyanyi, Aina Abdul dan Liza Hanim menerima kecaman ramai apabila dikatakan ‘mengemis’ DKD untuk mengadakan konsert berskala besar tidak lama lagi.
Tambah Altimet lagi, isu kelayakan seseorang anak seni memohon dana bukan diukur dari segi kuantitatif sebaliknya kualititatif dan kos secara keseluruhan pelaksanaan projek.
“Contohnya walaupun itu konsert solo, kita perlu fikir juga kru dan pasukan yang terlibat menguruskan serta menjayakan konsert tersebut. Semua itu kena fikir.
“Macam saya, konsert akhir saya pada 2019, ratusan orang yang terlibat. Itu semua kos. Tetapi lain orang lain kosnya, jadi terpulang pada artis yang ingin memohon,” ujarnya.
Dalam pada itu, Altimet berkata, setiap dana kerajaan memang sudah dikhaskan kepada bidang masing-masing dan tidak hanya melibatkan penggiat industri kreatif.
“Dana ini datang daripada kerajaan, secara tidak langsung, memang hak kita semua sebagai warganegara Malaysia. Tidak kira bidang apa sekali pun.
“Setiap dana ada saluran masing-masing. Jika penggiat industri seni ada dana khas, jadi mengapa mereka tidak boleh memohon sedangkan itu hak mereka,” kongsinya.