PETALING JAYA: Anak kepada pelakon dan penyanyi didakwa menjadi penyondol sehingga menyebabkan perkahwinan yang dibina seorang wanita musnah.
Pendedahan tersebut dilakukan seorang wanita mengunakan akaun Umisya Mazlan menerusi platform media sosial ‘X’ yang mendakwa rumah tangganya selama tiga tahun musnah gara-gara orang ketiga.
Dakwanya lagi, kecurangan suaminya dan anak pelakon tersebut sudah dihidu sejak dulu. Walaupun kemaafan sudah diberi, namun masing-masing masih meneruskan kecurangan untuk kali ketiga.
“Bukan sekali peluang diberikan ya. Ini kali ketiga. Sekejap Allah tunjukkan.
“Dia dipuji indah paras rupa, sopan, keluarga harmoni. Tapi sebaliknya? penyebab keruntuhan rumah tangga, penyebab hilangnya kasih sayang yang anak perlukan dari ayahnya,” dakwa wanita berkenaan.
Bukan itu sahaja, wanita berkenaan turut berkongsi bukti e-mel menunjukkan pasangan itu ada menempah bilik hotel di Kuala Lumpur pada Jun.
Dakwa wanita itu, walaupun kelakuan anak pelakon yang berumur 18 tahun itu telah diketahui oleh keluarganya. Namun, dia masih mengganggu keluarga wanita berkenaan.
“Konon berjanji takkan ganggu lagi tapi? Mungkir janji ya.
“Depan keluarga kami, depan emak ayah kau, keluarga kau. Kantoi check in lagi,” dakwanya.
Dalam ciapan yang sama, wanita yang mempunyai dua orang anak itu turut menegaskan bahawa kemaafan tidak wajar diberikan kepada penyondol.
“Perempuan tolong bangun. Jangan lemah. Aku belajar dari kesilapan untuk memaafkan dan sentiasa memaafkan orang yang tak menghargai.
“Untuk penyondol memang takkan rasa bersalah,” tulisnya.
Hasil semakan Utusan Malaysia, Instagram peribadi anak pelakon yang dikatakan meruntuhkan rumah tangga orang lain telah dinyahaktif sejak khabar angin membabitkannya tular.