Amizar calon tepat pertahan DUN Pelangai - Wan Rosdy

Amizar calon tepat pertahan DUN Pelangai – Wan Rosdy

AMIZAR ABU ADAM (tengah) dipeluk penyokong selepas diumumkan sebagai calon BN PRK Pelangai. - UTUSAN/ SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail optimis dengan pemilihan Datuk Amizar Abu Adam, 53, sebagai calon Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai yang dianggap tepat dan menepati kriteria yang diperlukan pengundi.

Menurutnya, Amizar merupakan seorang yang berpendidikan, berjiwa rakyat dan aktif dalam aktiviti kemasyarakatan serta dikenali di semua peringkat DUN Pelangai.

Katanya, Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bentong itu diumumkan sebagai calon BN setelah mengambil kira pandangan semua pihak dan mendapat restu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

“Amizar anak peneroka Felda Chemomoi antara tokoh muda yang digilap oleh bekas Menteri Besar, Tan Sri Adnan Yaakob yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Bentong.

“Saya penuh yakin para pengundi dapat menerima calon BN dan UMNO yang diyakini dapat meneruskan legasi dan jasa Allahyarham Datuk Seri Johari Harun bagi membangunkan DUN Pelangai,” kata Menteri Besar Pahang itu selepas mengumumkan calon BN di Dewan Majlis Perbandaran Bentong malam tadi.

Amizar berkelulusan Ijazah Sarjana Pengurusan dan Kepimpinan Strategik daripada Universiti Sains Malaysia (USM) dan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Menurut Wan Rosdy, penampilan pemangku Ketua Bahagian Bentong, Datuk Mohamad Zaini Salleh yang juga antara empat calon terakhir memberi sokongan kepada Amizar membuktikan semangat UMNO tetap kental di jiwanya walaupun tidak terpilih.

Amizar sebelum ini pernah bertanding di DUN Ketari pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) namun tewas dengan jumlah undi yang kecil.

Sementara itu Amizar berkata, beliau akan melaksanakan amanah parti sebaik mungkin bagi meneruskan legasi Allahyarham Johari.

“Banyak perkara akan dilaksanakan dan dirangka dan saya bertekad untuk menyambung legasi Allahyarham demi membangunkan DU Pelangai,” katanya.

Menurutnya, DUN Pelangai mempunyai 16,456 pengundi termasuk pengundi terbesar datangnya dari Felda Chemomoi, Felda Sungai Kemahal dan Felda Kemasul.

Proses penamaan calon PRK DUN Pelangai ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya ( SPR) di Dewan Felda Kemasul pada Sabtu ini manakala hari pengundian pada 7 Oktober depan.

PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian Johari Harun yang maut dalam nahas jet eksekutif di Elmina, Shah Alam 17 Ogos lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN