PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa kemalangan maut di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan pada Jumaat lalu.
Perkara itu dikongsikan Istana Negara dalam satu catatan di Facebook, hari ini.
“Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian mereka sekeluarga dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga mereka sabar serta tabah menghadapi dugaan dan suasana pilu ini.
“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh-roh Allahyarham dan Allahyarhamah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh,” katanya.
Sebelum ini, enam sekeluarga dilaporkan terkorban dalam kemalangan menyayat hati membabitkan lima buah kenderaan itu.
Mereka yang terkorban ialah Amir Ruddin Ismail, 46, Norahimah Noor Muhamad, 43, Fatimatulzahrah Amir Ruddin, 17, Seri Khadijah Aqilah Amir Ruddin, 13, Rufaidatul Asyariyah Amir Ruddin, 10 dan Muhammad Assyakrawi Amir Ruddin, 5.-UTUSAN










