KOTA KINABALU: Kembara Kenali Borneo diketuai Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bermula dan berakhir dengan linangan air mata Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Air mata Raja Permaisuri Agong tumpah melihat sambutan luar biasa daripada rakyat Sabah yang sanggup berhujan dan berpanas di tepi jalan bagi menunggu ketibaan Seri Paduka berdua.
Semalam Tunku Azizah mengalirkan air mata melihat masyarakat setempat di Beaufort tidak berganjak biarpun hujan lebat. Anakanda Seri Paduka, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah turut dilihat sanggup berhujan untuk melambai tangan kepada rakyat yang berada di bahu jalan.
Sepanjang lima hari berada di Sabah, Al-Sultan Abdullah berpeluang menyantuni dan melihat sendiri masalah dihadapi rakyat di peringkat akar umbi.
Pada majlis santapan malam kerajaan negeri pada hari keempat kembara, Seri Paduka bertitah segala masalah dan aduan rakyat akan disampaikan kepada Kerajaan Persekutuan.
“Keseronokan saya memandu, saya juga ada co-pilot yang jadi tukang catit segala teguran, segala pandangan, segala penglihatan sepanjang perjalanan. Kita perhati dengan sebaiknya, semua ada dalam buku kita dan ada juga complain (aduan) yang kita terpaksa tulis juga.
“Bukan nak complain di sini, sekadar nak mengingatkan kalau boleh mudah-mudahan susulan daripada lawatan saya ini, insya-Allah saya akan beri pandangan saya dan harap dapat diusahakan berkaitan jalan raya, bekalan elektrik, bekalan air dan sebagainya. Satu sahaja saya nak bawa ke tengah di sini, berkaitan satu tempat yang begitu cantik, Sungai Liwagu, jambatan itu cantik.
“Orang kampung tunggu di satu tempat dan tunjukkan satu lagi jambatan pecah (rosak). Saya tanya berapa lama sudah jambatan tidak diperbaiki atau dipulihkan, dia (orang kampung) kata sejak 2019.
“Saya harap ini dapat kita ketengahkan, saya sendiri pun akan berusaha di peringkat federal. Apabila saya balik KL (Kuala Lumpur) berjumpa Perdana Menteri, saya akan suarakan mana-mana yang patut saya suarakan,” titah Al-Sultan Abdullah.
Di Sabah, Kembara Kenali Borneo Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong bermula di Tawau kemudian menuju ke Lahad Datu, Sandakan, Telupid, Ranau, Kundasang, Kota Kinabalu, Penampang dan berakhir di Sipitang semalam. Rombongan kembara Seri Paduka kemudian meneruskan perjalanan ke Brunei.
Di Sabah antara lokasi yang dilawati adalah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Lahad Datu; Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok, Sandakan; Institut Perhutanan Sabah di Telupid; Pentas Budaya Kundasang, Kompleks Mahkamah Syariah Kota Kinabalu dan Kampung Kebudayaan Koisaan, KDCA Penampang.- UTUSAN