70,156 calon STPM berjaya ditawar masuk IPTA

70,156 calon STPM berjaya ditawar masuk IPTA

SEJUMLAH 70,156 calon berjaya memperoleh tawaran melanjutkan pengajian ke Universiti Awam (UA) peringkat Sarjana Muda lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau setaraf. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sejumlah 70,156 calon berjaya memperoleh tawaran melanjutkan pengajian ke Universiti Awam (UA) peringkat Sarjana Muda lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau Setaraf bagi Sesi Akademik 2023/2024.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan memaklumkan, calon-calon yang berjaya boleh menyemak keputusan masing-masing mulai hari ini pada pukul 12 tengah hari hingga 16 September depan pada pukul 5.00 petang.

Katanya, sebanyak 118,143 calon membuat permohonan menerusi UPUOnline® namun pemilihan kemasukan calon kategori STPM/Matrikulasi/Asasi/STAM adalah berdasarkan prinsip meritokrasi dengan mengambil kira 90 peratus pencapaian akademik dan 10 peratus pencapaian kokurikulum.

“Manakala, pemilihan bagi calon kategori Diploma/Setaraf adalah berdasarkan 100 peratus pencapaian akademik.

“Berdasarkan prinsip meritokrasi tersebut, semua calon yang layak dengan markah merit tertinggi tanpa mengira kaum, agama, negeri, taraf hidup dan tempat tinggal diberikan peluang untuk mengikuti pengajian di UA,” katanya hari ini.

KPT berkata, kejayaan calon untuk memperoleh tawaran bergantung kepada susunan merit, memenuhi Syarat Am dan Syarat Khas program pengajian, diperaku temu duga dan/atau ujian bagi program yang menetapkan syarat demikian.

Ia termasuk berdasarkan kekosongan tempat dan keutamaan pilihan program pengajian di UA yang dipohon dengan sebanyak 1,098 program pengajian sarjana muda ditawarkan bagi sesi kali ini.

“Terdapat 89,102 tempat disediakan kepada calon lepasan STPM/Setaraf di 20 UA yang melibatkan 72,772 tempat melalui UPUOnline®

“Manakala, 16,330 tempat lagi disediakan kepada calon feeder melalui saluran UA masingmasing. Hanya calon yang mengemukakan permohonan UPUOnline® melalui https://upu.mohe.gov.my/ sahaja telah dipertimbangkan,” katanya.

KPT memberitahu, daripada jumlah calon berjaya, sejumlah 24,846 calon lelaki (73.94 peratus) dan 45,310 calon perempuan (73.49 peratus) berjaya ditawarkan tempat.

Sebanyak 36,365 Tawaran Laluan Khas diberikan iaitu sejumlah 35,892 calon kategori B40, Orang Kurang Upaya (OKU) (192 orang), atlet (181 orang) dan Orang Asli (100 orang).

“Calon bumiputera yang berjaya pula adalah sebanyak 72.69 peratus yang layak, manakala calon bukan bumiputera sebanyak 78.70 peratus,” katanya.

Dalam pada itu, sejumlah 5,442 (84.11 peratus) daripada 6,470 tempat melibatkan 119 program pengajian dalam bidang Pendidikan & Latihan Teknikal & Vokasional (TVET) telah dipenuhi calon di empat Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).

Empat universiti itu ialah Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

“Selain itu, sejumlah 36,463 (91.17 peratus) daripada 39,994 tempat melibatkan 673 program pengajian dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan & Matematik (STEM) telah dipenuhi oleh calon di 20 UA,” katanya.

Calon-calon boleh menyemak melalui platform Aplikasi mobile UPUPocket di telefon pintar, secara atas talian melalui pautan; https://jpt.utm.my ; https://jpt.uum.edu.my ; https://jpt.unimas.my ; https://jpt.ums.edu.my dan http://jpt.umt.edu.my

Pengesahan setuju terima atau tolak tawaran akan bermula esok hingga Sabtu depan (16 September) melalui laman web UA masing-masing.

Surat tawaran akan dikeluarkan oleh UA kepada calon yang berjaya mulai esok setelah calon membuat pengesahan setuju terima tawaran dalam tempoh yang dinyatakan.

Tawaran tempat bagi Sesi Akademik 2023/2024 adalah muktamad dan sebarang permohonan pertukaran program pengajian dan UA tidak dibenarkan.

Manakala kepada calon yang tidak berjaya adalah dipelawa mengemukakan permohonan rayuan melalui UPUOnline® di https://upu.mohe.gov.my dalam tempoh 10 hari mulai hari ini sehingga 16 September 2023 pukul 5.00 petang.

Dasar pemilihan rayuan adalah tertakluk kepada kekosongan tempat yang ditawarkan mengikut program pengajian selepas pendaftaran pelajar baharu selesai dilaksanakan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya