PETALING JAYA: Sebanyak 6,831 saman pelbagai kesalahan trafik dikeluarkan semalam menerusi Op Hormat Undang-undang (HUU) Jalan Raya Polis Kuala Lumpur fasa dua di sekitar ibu negara.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, kesalahan tertinggi direkodkan adalah halangan lalu lintas dengan 5,470 saman dikeluarkan.
“Kesalahan kenderaan di laluan pejalan kaki atau garisan putih (283), tiada lesen memandu (90), nombor pendaftaran (25), tidak patuh lampu isyarat merah (42) dan lain-lain (909).
“Sebanyak dua kenderaan iaitu satu kereta dan satu motosikal turut disita semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Saifuddin, pihaknya menahan 14 individu dengan pelbagai kesalahan antaranya dadah, imigresen dan pelbagai kesalahan jenayah.
“Sebanyak 22 operasi dijalankan semalam membabitkan Op Mabuk; Op Motosikal; Op Perdagangan; Op khas; Op Pelbagai; Op Halaju; Op Halangan; Op Utama (telefon bimbit); dan Op Utama (Lampu Isyarat).
“Mana-mana individu yang disaman sepanjang operasi itu yang dijalankan sehingga 29 September ini tidak layak untuk mendapat tawaran pengurangan atau diskaun,”katanya.
Rabu lalu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid dilaporkan berkata, operasi fasa kedua itu tertumpu di 16 lokasi berbeza sekitar ibu negara sepanjang tempoh pelaksanaan terbabit bermula 15 hingga 29 September ini.
Operasi penguatkuasaan yang lebih tegas itu akan memfokuskan tujuh jenis operasi iaitu Op Parkir Haram, Op Halangan, Op Lampu Merah, Op Nombor Pendaftaran, Op Cermin Gelap, Op Motosikal dan Op Didik. – UTUSAN










