MELAKA: Sasaran 15,000 suri rumah mencarum dalam Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) di negeri ini mampu dicapai menjelang hujung tahun ini, kata Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Melaka, Abd. Razak Omar.
Beliau berkata, seramai 6,499 suri rumah telah mencarum SKSSR di Melaka sehingga 10 September lalu dan dijangka bertambah dalam masa terdekat.
Jelasnya, lebih banyak pihak perlu tampil menaja perlindungan yang diperkenalkan Perkeso itu kepada lebih ramai suri rumah agar nasib mereka sekiranya ditimpa kemalangan akan terbela.
“Perkeso negeri kini giat melaksanakan pelbagai program dan aktiviti untuk menarik lebih ramai kaum wanita, khususnya suri rumah untuk mencarum SKSSR. SKSSR terbuka kepada semua golongan wanita yang menguruskan rumah tanpa mengira sudah berkahwin atau belum, ibu tunggal, yang sudah bercerai dan mestilah berusia di bawah 55 tahun.
“Menerusi SKSSR ini Perkeso beri manfaat perlindungan bencana domestik iaitu faedah perubatan, hilang upaya kekal, elaun layanan sentiasa, kemudahan pemulihan jasmani atau dialisis, faedah pengurusan mayat dan pencen penakat.
“Dengan bayaran caruman RM120 setahun atau hanya RM10 sebulan, Perkeso akan memberi perlindungan kepada suri rumah yang mengalami penyakit, kemalangan atau apa sahaja insiden,” katanya kepada pemberita selepas Program Pemimpin Bersama Masyarakat SKSSR di Wisma Perkeso di sini, hari ini.
Pada program tersebut, seramai 150 suri rumah dalam Parlimen Hang Tuah Jaya menerima SKSSR melibatkan penajaan berjumlah RM13,200.
Tamabh Abd. Razak, pihaknya akan meluaskan hebahan caruman SKSSR kepada suri rumah dalam golongan orang asli di Melaka.
Menurutnya, Perkeso telah merangka aktiviti dan program mendekati dan menarik suri rumah dalam kalangan orang asli untuk mencarum SKSSR.
“Perkara tersebut masih di peringkat perbincangan dan jika menjadi kenyataan masyarakat orang asli Machap akan menjadi sasaran pertama,” katanya. – UTUSAN