500 peserta gimnastik sertai Vivace Dream Cup 2023 - Utusan Malaysia

500 peserta gimnastik sertai Vivace Dream Cup 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penganjuran kejohanan gimnastik Vivace Dream Cup 2023 buat kali kedua menyaksikan peningkatan jumlah peserta iaitu seramai 500 ahli gimnastik dan juri daripada lapan buah negara.

Kejohanan itu dianjurkan oleh Vivace Dance Academy dan ditaja oleh VSchool Trend selepas kali pertama diadakan pada tahun 2022.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Vivace Dance Academy, Corine Beh, pihaknya berbangga kerana sambutan terhadap kejohanan tersebut semakin meningkat sekali gus telah membuka mata banyak pihak.

“Tahun ini, negara China tidak dapat menyertai pertandingan ini kerana tarikh kejohanan bertindih dengan jadual sekolah dibuka selepas cuti, namun begitu pada tahun ini kita mencatat rekod penyertaan peserta paling ramai berbanding sebelum ini.

“Kami juga merangka mengadakan pertandingan dengan skala besar namun pada tahun depan namun perlu difikirkan tentang lokasi stadium dengan kapasiti lebih ramai dan kemudahan yang baik” katanya.

Vivace Dream Cup 2023 pada tahun ini menyaksikan penyertaan dari Malaysia, Singapura, Indonesia, Filipina, Rusia, Hong Kong, Taiwan dan Thailand dan berlangsung di Stadium Titiwangsa.

Sementara itu, Pengarah VKids Trend, Datuk Dr. Denise Lim berkata, pihaknya terbuka untuk menaja lebih banyak untuk memastikan pertandingan ini mampu menjadi acara bertaraf antarabangsa dengan penyertaan lebih banyak negara lagi.

“Kami selaku penaja melihat pertandingan ini mampu melahirkan golongan pelapis dari pelbagai negara menjadi gimnas terbaik, ia adalah satu platform yang bagus yang perlu diberi perhatian dari pelbagai pihak,”katanya.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang hadir bagi sesi penutup dan penyampaian hadiah turut menyokong kejohonan ini selain menyifatkan bahawa ia wajar dijadikan acara tahunan dengan penyertaan lebih besar dari seluruh negara.

“Saya melihat Vivace Dream Cup 2023 sebagai satu platform terbaik untuk melahirkan ramai pelapis gimnas terbaik negara, seperti Farah Ann Abdul Hadi seawal umur 4 tahun.

“Saya yakin dengan sokongan dari Kementerian dan pelbagai pihak mampu mengangkat kejohanan ini ke peringkat lebih tinggi dan bertaraf global” tambahnya.

Matlamat pertandingan ini adalah untuk membantu membina keyakinan para gimnas beraksi di pentas antarabangsa. Selain itu, ini juga dapat membantu membina keakraban para peserta dari negara-negara lain ketika bersaing antara satu sama lain.

Vivace Dance Academy bertujuan untuk membantu mempromosikan teknik tarian melalui program pendidikan seperti bengkel, terutamanya melalui latihan gimnastik berirama.

Selain mencipta persekitaran yang sihat dan menggalakkan, mereka percaya sesiapa sahaja boleh menari dengan latihan dan pembelajaran dari jurulatih yang tepat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN