KUALA LUMPUR: Sebanyak 36,432 saman dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan jalan raya menerusi Op Hormat Undang-Undang (HUU) dalam tempoh tujuh hari pertama operasi dijalankan.
Operasi bermula Jumaat lalu itu melibatkan 45 pegawai kanan polis dan 754 pegawai rendah di beberapa lokasi sekitar ibu negara.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, antara kesalahan dikesan adalah halangan lalu lintas iaitu sebanyak 27,755 saman, lain-lain kesalahan (5,880) dan meletakkan kenderaan di laluan pejalan kaki (1,523).
Beliau berkata, pihaknya turut menahan 59 individu atas pelbagai kesalahan jenayah dan trafik.
“Sebanyak 29 buah kenderaan yang mana 27 daripadanya adalah motosikal dan sebuah lori disita.
“Kita kekalkan tiada diskaun ditawarkan untuk saman. Saman yang dikeluarkan dalam masa ini (operasi), kita kekalkan pendirian itu,” katanya selepas Op HUU di hadapan KLCC, di sini hari ini.
Allaudeen, menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan.
“Diharapkan orang ramai dapat meningkatkan lagi kesedaran atas pentingnya menjaga keselamatan diri dan orang lain. Polis tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat melakukan kesalahan jalan raya,” katanya. – UTUSAN










