KUALA LUMPUR: Persidangan dan Pameran Modal Insan Kebangsaan (NHCCE) 2023 yang akan berlangsung selama dua hari bermula 30 Oktober depan menampilkan lebih 30 tokoh terkenal dunia serta 400 pempamer terkemuka.
Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, mereka terdiri daripada tokoh dalam bidang modal insan dan pengamal sumber manusia (HR) yang berfikiran progresif seperti Dave Ulrich yang sering dianggap sebagai bapa HR moden.
Katanya, profesor perniagaan di Ross School of Business, Universiti Michigan, Frank Furness turut dijadual hadir pada persidangan yang akan diadakan Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) itu.
“Turut ditampilkan ialah pengasas dan bekas Presiden Northwest London Speakers Club, Dr Donald H Taylor; Pengerusi The Learning and Performance Institute serta pemimpin industri tempatan seperti Ann Osman, atlet MMA wanita pertama Malaysia dan Ketua Malaysia UST Global (M) Sdn Bhd, Amar Chhajer,” katanya semasa Majlis Prapelancaran NHCCE di sini, semalam.

Sivakumar berkata, NHCCE dengan tema “Menjana Pertumbuhan, Menginspirasi Perubahan” bertujuan membantu organisasi dan pengamal sumber manusia agar dapat terus berada di hadapan ketika cabaran di tempat kerja moden sentiasa berubah-ubah.
“Dalam situasi tempat kerja yang dipengaruhi oleh pelbagai gangguan, kini adalah masa yang tepat untuk mencipta peluang pertumbuhan baharu dan menginspirasi perubahan, menjadikan masa depan organisasi serta pekerja lebih mampan dan kukuh.
“NHCCE dilaksanakan tepat pada masanya kerana ia berfungsi sebagai platform untuk pihak-pihak berkepentingan dari pelbagai industri berkumpul, berkongsi pandangan sekali gus merangka hala tuju ke arah ekosistem tenaga kerja yang lebih kukuh dan dinamik,” katanya.
Beliau berkata, lima topik utama yang diketengahkan ialah teknologi dan inovasi, kepimpinan dan pertumbuhan, motivasi dan kesejahteraan, pembelajaran dan pembangunan serta tenaga kerja dinamik dan tempat kerja masa depan.
“Perbincangan ini akan membuka jalan kepada wacana baharu dalam pembangunan modal insan serta memperkasa pengamal HR untuk mengambil peranan yang lebih strategik dalam organisasi masing-masing.
“Kerajaan memahami kepentingan membina hubungan kerjasama dengan semua pihak kerana ia dapat membantu kita merumuskan inisiatif yang lebih baik untuk keperluan masyarakat,” katanya.
Pas masuk ke NHCCE 2023 kini boleh dibeli dengan harga RM2,500 bagi pas standard manakala pas kumpulan boleh didapati dengan harga RM2,250 setiap orang dengan syarat sekurang-kurangnya tiga peserta, penjawat awam hanya perlu membayar RM1,800 dan pelajar dikenakan RM500.
NHCCE juga membuka jualan pas antarabangsa kepada delegasi luar negara pada harga USD1,000 untuk pas standard dan USD900 untuk setiap orang bagi pas kumpulan dengan sekurang-kurangnya tiga orang delegasi.
Sehingga 16 September ini, diskaun sebanyak lima peratus akan diberikan. – UTUSAN