3 pelancong Singapura terbabit kemalangan dibenar keluar hospital - Utusan Malaysia

3 pelancong Singapura terbabit kemalangan dibenar keluar hospital

KEADAAN kemalangan yang menyebabkan seorang pelancong Singapura maut manakala tiga yang lain cedera selepas van persiaran dinaiki mereka terbabas ke cerun sedalam enam meter di Bukit Genting, Balik Pulau, Pulau Pinang malam tadi. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BALIK PULAU: Tiga pelancong warga Singapura yang terlibat dalam kemalangan membabitkan van persiaran yang terbabas ke cerun bukit di Jalan Teluk Kumbar, Bukit Genting di sini, telah dibenarkan keluar selepas mendapatkan rawatan di Hospital Balik Pulau, malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata, empat mangsa kemalangan telah dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) manakala tiga lagi mangsa dipindahkan ke hospital swasta.

WONG Hon Wai dalam sidang akhbar berkenaan kes kemalangan melibatkan pelancong warga Singapura di Hospital Balik Pulau, Pulau Pinang hari ini.

”Mayat seorang mangsa kemalangan iaitu seorang wanita berusia 60-an masih berada di Hospital Balik Pulau.

”Saya telah berhubung dengan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur berkenaan kejadian ini dan kita bersedia untuk menawarkan apa saja bentuk bantuan yang diperlukan mangsa,” katanya ketika ditemui di perkarangan Hospital Balik Pulau, di sini hari ini.

Dalam kemalangan kira-kira pukul 8.14 malam tadi, seorang pelancong wanita warga Singapura maut selepas van persiaran yang dinaikinya terbabas dari cerun di Bukit Genting di sini.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Air Putih, Pegawai Bomba Kanan II, N. Prenavaran berkata, mangsa disahkan maut di lokasi kejadian kerana cedera parah.

Prenavaran berkata, mangsa menaiki van berkenaan bersama 10 rakan senegaranya terdiri daripada warga Singapura iaitu tujuh wanita dan tiga lelaki.

Menurut Hon Wai, beliau difahamkan mangsa-mangsa kemalangan itu melancong ke Pulau Pinang dengan menggunakan khidmat ejen.

”Ada ejen pelancongan yang menguruskan kumpulan pelancong ini, saya akan hubungi ejen pelancongan ini bagi mendapatkan maklumat berkaitan mangsa,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Daniel Gooi berkata, pengurusan Hospital Pulau Pinang dan Hospital Balik Pulau telah diarahkan untuk memudahkan dan membantu mereka yang terlibat dalam nahas itu.

”Perkara utama pada masa ini adalah untuk membantu mereka dalam pemulihan daripada kemalangan tersebut, doa kami ditujukan kepada mangsa serta keluarga dan rakan mereka,” katanya.

Danial berkata, orang ramai turut digesa supaya tidak menyebarkan gambar lokasi kemalangan sebagai tanda penghormatan kepada mereka yang terlibat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, identiti mangsa yang maut dalam kemalangan itu belum diperolehi berikutan tiada dokumen pengenalan diri pada mangsa.

“Tidak ada lagi (maklumat mangsa), tiada dokumen diri pada si mati. Punca kejadian belum diperoleh lagi, hanya akuan lisan sahaja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya