BEAUFORT: Mangsa banjir yang ditempatkan di di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Selagon kekal seramai 224 orang setakat pagi ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan mangsa yang terdiri daripada 70 keluarga itu dipindahkan ke PPS berkenaan akibat banjir yang melanda beberapa kampung di daerah ini sejak Jumaat.
Sehingga 8 pagi ini, seramai 102 orang dewasa dan 122 kanak-kanak termasuk bayi ditempatkan di PPS berkenaan.
Kesemua mangsa dipindahkan dari lima kampung yang terjejas iaitu Kampung Suasa, Kampung Bangkalalak, Kampung Berumbai, Kampung Bakalau dan Kampung Lago.
PPS Dewan Selagon mula dibuka pada pukul 4 petang Jumaat lalu akibat hujan lebat yang berterusan.
Pemantauan di kawasan berisiko masih diteruskan dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Beaufort. –UTUSAN










