206 atlet berentap di SIPMA 2023

206 atlet berentap di SIPMA 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  206 atlet terdiri daripada Kontinjen Majlis Sukan Politeknik Malaysia (MSP) dan Majlis Sukan Kolej Komuniti Malaysia (MASKOM) bakal berentap di Kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) 2023.

Pengarah Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Azirin Abdul Aziz berkata, kejohanan SIPMA menjadi landasan bagi atlet bertanding di peringkat  lebih tinggi.

Katanya, dalam masa yang sama, kejohanan tersebut dapat mencungkil bakat atlet dan menyediakan peluang kepada atlet bertanding dalam pertandingan yang lebih kompetitif.

“Kejohanan ini dapat membudayakan sukan dalam kalangan pelajar politeknik dan kolej komuniti sebagai usaha ke arah meningkatkan kualiti kesihatan terutamanya dalam kalangan generasi muda.

“Pelaksanaan kejohanan sukan ini adalah bertepatan dengan fungsi dan peranan yang dimainkan oleh politeknik dan kolej komuniti,” katanya ketika berucap dalam menyempurnakan majlis ‘flag off’’ sempena penganjuran kejohanan itu.

Tambahnya, kedua-dua institusi yang terlibat secara langsung bersedia membentuk  atlet sukan yang dapat mewakili institusi, sehingga boleh mewakili negara.

Beliau yang juga Pengerusi MSP berkata, penganjuran kejohanan Itu selaras dengan  menyokong hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Jelasnya, melalui  Dasar Pembangunan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (DSIPT), sekurang-kurangnya 30 peratus atlet negara disasarkan yang terdiri daripada atlet Institut Pengajian Tinggi.

SiPMA 2023 bakal membuka tirainya pada 10 hingga 17 September ini, berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak dengan melibatkan lapan majlis sukan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dan KPT. 

Sebanyak empat pingat disasarkan oleh setiap kontinjen dan sebanyak lapan acara utama bakal dipertandingkan pada SIPMA kali ini iaitu bola sepak, bola jaring, hoki, bola tampar, badminton, boling tenpin, olahraga dan renang.

Turut serta pada majlis ‘flag off’ ini ialah Pengarah Kolej Komuniti Kuala Langat (KKKL) merangkap Pengerusi MASKOM, Suhairi Ismail.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN