AMPANG JAYA: Pelbagai alasan digunakan penunggang warga asing yang ditahan dalam operasi sekitar Pandan Mewah dan Tasik Tambahan di sini, semalam.
Antara alasan diberikan dalam operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya itu bermula pukul 7 petang sehingga 9 malam iaitu tiada lesen selain motosikal tamat cukai.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, hasil daripada operasi tersebut, sebanyak 31 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
“Tiada lesen memandu yang merupakan kesalahan paling banyak dikesan dengan 20 saman melibatkan 14 motosikal dan satu kereta yang digunakan oleh warga asing.
“Selain itu, empat kesalahan melibatkan nombor pendaftaran, tiga kesalahan mengubah suai ekzos dan dua saman bagi kesalahan cermin sisi dan brek tidak berfungsi dengan baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Azam, pemilik kenderaan dinasihatkan supaya tidak memberi kebenaran menggunakan kenderaan milik mereka kepada individu yang tiada lesen memandu terutama warga asing.
“Pemilik kenderaan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 26(1)b Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana membenarkan orang lain memandu kenderaannya tanpa lesen (Subahat),”jelasnya.-UTUSAN