KUCHING: Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Sarawak berjaya menangkap seramai 133 orang yang terlibat dalam kegiatan judi atas talian dan loteri awam tanpa lesen sepanjang 129 serbuan menerusi Op Dadu Khas di Sarawak.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato’ Mancha Ata berkata sepanjang pelaksanaan operasi berkenaan seramai 133 orang tangkapan yang melibatkan 85 lelaki dan 48 orang perempuan.
“Sepanjang tempoh operasi ini dilancarkan kontinjen sarawak telah berjaya melaksanakan 129 serbuan berjaya judi atas talian dan loteri awam tanpa lesen dengan menghasilkan tangkapan seramai 133 orang tangkapan yang melibatkan 85 lelaki dan 48 orang perempuan.
“Manakala bagi jumlah rampasan yang telah berjaya dirampas adalah wang tunai sebanyak rm 20,493.00, 1 unit tablet, 126 unit telefon pintar dan 10 unit mobile printer,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini hari ini.
Tambahnya lagi, kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 4B(A) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
“Jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang dari RM10 ribu dan tidak lebih dari RM100,000 ribu bagi setiap mesin judi yang dirampas dan hendaklah juga dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi lima (5) tahun.
“Manakala bagi kesalahan di bawah Seksyen 4A(A) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang dari RM20,000 dan tidak lebih dari RM200,000 dan dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi lima (5) tahun,” jelasnya lagi.
Justeru itu, tambahnya PDRM akan mengambil tindakan tegas kepada individu yang menganjur dan menjalankan kegiatan perjudian haram berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada dalam usaha membanteras aktiviti perjudian di kontinjen Sarawak.
Untuk rekod, Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sarawak telah melancarkan Op Dadu Khas bermula September sehingga 5 Oktober ini.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan perjudian boleh menyalurkan maklumat tersebut melalui hotline Op Dadu ditalian 013-5253052. –UTUSAN