VIP, ahli politik ditaja syarikat judi

VIP, ahli politik ditaja syarikat judi, Tan Sri antara ditahan SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beberapa orang kenamaan termasuk pe­mimpin politik dikesan Suruhanjaya Pen­­cegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima dana beberapa syarikat judi untuk digunakan ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), PRU14 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri baru-baru ini.

Dana RM6 hingga RM7 juta itu dipercayai dite­rima orang kenamaan dan pemimpin politik berkenaan selepas syarikat perjudian tersebut diberi lesen mengoperasikan aktiviti mesin slot di kelab persendirian dan persatuan dimiliki syarikat pe­ngendali mesin judi.

Perkara tersebut terbongkar selepas 13 individu termasuk seorang Tan Sri ditahan SPRM Rabu lalu.

Kesemua yang ditahan berusia 30 hingga 79 tahun dan mereka membabitkan pemilik syarikat pembekal mesin slot judi.

Satu sumber mendedahkan kepada Mingguan Malaysia, selain dana bagi tujuan politik, syarikat judi tersebut juga dikatakan dipaksa menaja pelbagai aktiviti membabitkan VIP dan pemimpin politik ber­kenaan seperti bermain golf di kelab-kelab mewah.

Kata sumber, SPRM juga ti­dak menolak kemungkinan sya­rikat-syarikat tersebut turut membayar secara bulanan kepada pihak berkuasa agar operasi judi tidak diganggu.

“Beberapa individu bergelar Datuk Seri dan Datuk berada dalam siasatan dan mungkin dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan memandangkan ada daripada me­reka kini berada di luar negara,” kata sumber itu semalam.

Mengulas lanjut, kata sumber, kerajaan melalui sebuah kementerian sebelum ini melu­luskan 159 lesen judi kepada syarikat-syarikat tersebut.

“Sejak 2003, kuota mesin slot setiap lesen 15 unit bagi setiap premis di Semenanjung dan 10 unit di Sabah.

“Setiap unit mesin slot perlu didaftarkan dan mendapat kelulusan akan di­kenakan bayaran duti 35 peratus bagi hasil setiap me­sin judi kepada kerajaan.

“Setiap lesen mesin slot perlu diperbaharui setiap tiga bulan bagi sebuah kelab (syarikat) ma­nakala satu tahun sekali bagi persatuan,” katanya.

Bagaimanapun, kata sumber, difahamkan terdapat tambahan kuota mesin judi iaitu masing-masing lima unit kepada 132 daripada 159 operator syarikat dan persatuan sedia ada pada Jun tahun lalu.

“Penambahan tersebut menjadikan dari 2,157 unit mesin slot meningkat kepada 2,812 unit. Bertambah 655 unit,” jelasnya.

Kata sumber itu, pemegang permit kelab iaitu 159 kelab atau persatuan perlu membuat bayaran sebanyak RM25,000 bagi setiap tiga bulan kepada syarikat operator.

“Manakala Pemegang Le­sen Kelab (Persatuan) perlu membuat bayaran sebanyak RM25,000 bagi setiap setahun bagi setiap pembaharuan lesen mengendalikan mesin judi di premis masing-masing,” kata­nya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN