PETALING JAYA: Siasatan yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dilakukan selepas kenyataannya berkecenderungan menghasut bagi mendatangkan penghinaan atau perasaan tidak setia terhadap institusi diraja.
Turut dirakam keterangan adalah Ketua Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan Datuk Marzuki Yahya.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kenyataan berkecenderungan menghasut itu telah disiarkan di sebuah portal berita pada 6 Jun lalu.
“Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan di sini.
Mohd. Shuhaily turut menasihati orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau berkongsi maklumat salah sehingga mengganggu proses siasatan.
“Kes terbabit masih di peringkat siasatan. Orang ramai perlu menjadi pengguna media sosial yang bijak dan berhemah dengan tidak mengeluarkan kenyataan boleh menggugat keharmonian serta perpaduan termasuk menyentuh isu 3R,” jelasnya.
Dalam perkembangan berasingan Mohd. Shuhaily memberitahu, siasatan juga dijalankan terhadap pemilik dan pengendali akaun Facebook Imam Mustaqim yang telah memuat naik hantaran berkecenderungan menghasut bagi mendatangkan penghinaan terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Kata beliau, hantaran itu telah dikeluarkan pada 28 Ogos lalu.
“Kes ini juga disiasat oleh USJT, Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya. – UTUSAN