Tiga lelaki memandu bawah pengaruh alkohol diberkas

Tiga lelaki memandu bawah pengaruh alkohol diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis menahan tiga lelaki kerana memandu di bawah pengaruh alkohol menerusi operasi Op Mabuk di Jalan Pandan Utama, dekat sini, semalam.

Ketiga-tiga lelaki berusia antara 41 hingga 69 tahun itu ditahan dalam sekatan jalan raya (SJR) dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

Turut diperiksa 55 kenderaan dan 70 individu dalam operasi yang dijalankan bermula pukul 10 malam sehingga 12 tengah malam itu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, semua individu yang ditahan itu didapati memandu dengan tahap alkohol melebihi paras yang dibenarkan.

“Penahanan bersama kenderaan yang terbabit kemudiannya dibawa ke Pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ampang Jaya untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalanraya 1987.

“Ujian nafas dengan menggunakan alat ‘evidential breath analyzer II’ (EBA II) terhadap ketiga-tiga individu berkenaan dan mendapati tahap kandungan alkohol dalam darah mereka melebihi had yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Azam berkata, sebanyak 32 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya tiada lesen memandu yang sah, ubah suai kenderaan, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, cermin sisi dan kesalahan lain.

“Orang awam diingatkan supaya tidak memandu semasa berada di bawah pengaruh alkohol kerana perbuatan itu boleh membahayakan pada diri sendiri dan juga pengguna jalan raya yang lain,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN