Tiada paksaan kibar Jalur Gemilang di Pulau Pinang - Utusan Malaysia

Tiada paksaan kibar Jalur Gemilang di Pulau Pinang

CHOW Kon Yeow (dua dari kiri) ketika menyempurnakan pelepasan 200 perserta program Jaulah Merdeka 4.0 2023 di Masjid Jamek Jelutong, George Town, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak pernah memaksa mana-mana premis di negeri ini untuk memasang Jalur Gemilang sempena Bulan Kebangsaan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ini kerana Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak ada dasar sedemikian kerana percaya semangat patriotik sepatutnya wujud tanpa sebarang unsur paksaan.

“Di Pulau Pinang sememangnya tidak ada dasar sedemikian (arahan pemasangan Jalur Gemilang), kita percaya dasar sedemikian mungkin ada kesan sebaliknya.

”Sepatutnya patriotisme atau apa-apa program yang dianjurkan adalah atas semangat kecintaan kita kepada negara dan bukan melalui paksaan,” katanya selepas merasmikan program Jaulah Merdeka 4.0 2023 di Masjid Jamek Jelutong, di sini hari ini.

Sebanyak 200 buah motosikal menyertai konvoi sempena program Jaulah Merdeka 4.0 2023 dan para peserta akan menjelajah di enam buah masjid di lima daerah di negeri ini bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kemerdekaan.

Sebelum ini, semua premis perniagaan di Ipoh, Perak yang enggan mematuhi notis arahan pemasangan Jalur Gemilang sempena Bulan Kebangsaan akan dikenakan kompaun sebanyak RM250.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pendekatan itu mengikut Seksyen 107(2) Akta Kerajaan Tempatan kerana melanggar syarat lesen seperti syarat am yang tertera di belakang setiap lesen premis perniagaan.

Menurut Kon Yeow, kerajaan negeri sentiasa menggalakkan semua pihak memasang Jalur Gemilang sempena Bulan Kebangsaan untuk menunjukkan tanda kecintaan kepada negara.

”Banyak pihak mempertikaikan adakah dengan memasang bendera ini menunjukkan patriotisme kita dan adakah kalau tidak pasang ia menunjukkan sebaliknya.

“Jadi di sini kita menggalakkan pemasangan Jalur Gemilang sebagai tanda terbuka untuk menyatupadukan, menunjukkan kesetiaan dan kecintaan kepada negara,” katanya.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, program Jaulah Merdeka 4.0 2023 merupakan acara tahunan yang diadakan pada hari Sabtu minggu terakhir sebelum sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos setiap tahun.

”Melihatkan program ini masih berterusan, saya amat gembira dan berbangga dengan sikap keterbukaan, tolenransi dan patriotik yang ada dalam masyarakat negeri ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya