PERNAH sebelum ini timbul dakwaan mengaitkan penyanyi popular, Misha Omar yang dikatakan menolak menyanyikan lagu yang dihasilkan penyanyi terkenal, Aina Abdul.
Meskipun khabar angin tersebut tidaklah bertiup kencang, namun ia menjadi topik yang diperkatakan peminat ‘kipas mati’ kedua-dua penyanyi prolifik ini.
Lebih merisaukan, dakwaan yang tidak diketahui kebenarannya itu dikhuatiri mencemar imej Misha yang selama ini terkenal dengan sikap rendah dirinya.
Enggan cerita berkenaan terus menjadi persoalan, Misha tampil beri penjelasan.
Katanya tiada istilah menolak tawaran Aina, sebaliknya ia hanyalah sekadar cakap-cakap kosong antara dua rakan artis yang satu masa dahulu akrab dan saling berhubung antara satu sama lain.
“Memang beberapa tahun lalu Aina pernah serahkan lagu, tetapi ia bukanlah demo penuh. Kami hanya saling bercakap-cakap kosong, tiada perbincangan serius tentangnya.
“Bahkan ketika itu saya hadir dengan lagu Tanpa Rela dan sibuk mempromosikannya, manakala Aina pula sibuk dengan dengan jadual kerjanya.
“Saya tekankan sekali lagi, ia hanyalah perbualan kasual dan tidak ada persetujuan mahupun perancangan lanjut tentang itu.
“Saya tidak mahu disebabkan cerita tidak tepat ini mencetuskan pertelagahan sesama peminat dan menimbulkan persepsi saya bersikap angkuh dan menolak menyanyikan lagu dihasilkan Aina,” katanya.
Misha berkata demikian sewaktu ditemui sempena majlis pelancaran Festival Muzik KEPCI, baru-baru ini.
Misha dalam pada itu mengakui faham dengan hasrat segelintir peminat yang mahukan kolaborasi antara dia dan Aina.
Bagaimanapun katanya, biarlah apa-apa perancangan tentang lagu terbaru ditentukan syarikat rakaman yang menaunginya iaitu Sony Music.
“Kalau jadi (kolaborasi), itu adalah rezeki. Kalau tidak, jangan salahkan sesiapa.
“Saya tahu peminat mahu saya dan Aina bekerjasama, atau setidak-tidaknya nyanyikan lagu yang dihasilkannya. Tapi buat masa ini, belum ada rezeki.
“End of the day, yang tentukan adalah syarikat rakaman. Setakat ini belum ada apa-apa kepastian untuk keluar dengan lagu baru selepas Tanpa Rela,” jelasnya.
FOKUS KELUARGA
Lagu Tanpa Rela diterbitkan tiga tahun sudah. Selepas itu, penyanyi berusia 41 tahun ini sepi tanpa sebarang single.
Misha memaklumkan dia belum ada perancangan untuk tampil dengan sebuah lagu baharu kerana tumpuan lebih terarah untuk membesarkan tiga anaknya.
“Saya tidak punya pembantu, segala tugas harian saya lakukan sendiri. Jadi saya Sony Music beri saya tempoh bertenang untuk membesarkan anak-anak saya.
“Setakat ini belum ada perancangan untuk keluarkan lagu baharu. Tapi saya yakin syarikat rakaman ada mengumpul material, cuma tak pasti lagu mana yang akan saya rakamkan nanti.
“Kepada peminat, saya mohon jangan berspekulasi. Kalau ada sebarang perkembangan akan saya kongsikan nanti,” katanya.