Tiada istilah ‘makan’ rakan duet, ada pihak sebar ideologi negatif - Liza Hanim - Utusan Malaysia

Tiada istilah ‘makan’ rakan duet, ada pihak sebar ideologi negatif – Liza Hanim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Saya tak tahu kenapa ada yang cakap saya suka ‘makan’ rakan duet. Seolah-olah ada pakatan untuk cipta imej atau ideologi menjatuhkan saya.”

Itu luahan penyanyi, Liza Hanim yang kesal apabila sering kali menjadi mangsa kecaman lantaran dia dikatakan suka menenggelamkan rakan duet dalam setiap persembahan.

Tambah penyanyi Gelisah Mimpi itu, ideologi itu dianggap berlebihan dan sengaja dicipta supaya imejnya terlihat negatif sehingga mungkin boleh mencemarkan periuk nasinya.

“Perkataan ‘makan’ itu bagi saya agak berlebih-lebihan, melampau pun ada. Saya tak faham mengapa setiap kali membuat persembahan dengan mana-mana artis, akan timbul isu itu.

“Sejak dulu lagi saya perasan, seolah-olah ada pihak yang memang menunggu masa dan sebarkan ideologi sebegitu untuk buat orang tak suka dengan penampilan saya.

“Saya tak pernah ada niat atau terfikir pun hendak lawan rakan duet. Itu adalah persembahan bersama, saya juga sudah lama jadi penyanyi,” katanya.

Dalam pada itu, Liza berkata, setiap persembahan sudah dirancang terlebih dahulu dan perbincangan dengan rakan duet wajib dilakukan untuk memastikan semuanya berjalan lancar.

“Tugas saya di atas pentas adalah untuk menyanyi, melontarkan semua tenaga dan kemampuan yang ada. Bukan untuk berlawan siapa hebat.

“Tetapi apa yang anda tak tahu, apa yang kami lakukan di atas pentas mengikut apa yang sudah dirancang.
“Kalau betul saya ‘makan’ rakan duet, pasti tiada sesiapa yang akan menjemput saya menyanyi lagi,” kongsinya.

Sementara itu, penyanyi yang pernah membintangi filem Laila Isabella itu memohon agar pihak-pihak tertentu berhenti mensabotaj nama baiknya dengan isu yang sudah lama mengguris hatinya.

“Saya memang bukan jenis membaca komen di media sosial, tetapi kadang-kadang ada terbaca juga. Memang terasa bila ada yang cakap begitu, terutama ada pula yang setuju.

“Pesanan kepada mereka yang suka menyebarkan ideologi sebegitu, sudah-sudahlah. Tak perlu teruskan ideologi negatif tersebut,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN