Teruja belajar bersama ayah di PSP

Teruja belajar bersama ayah di PSP

MOHAMAD YUSRI Kamaruddin (kanan) dan isterinya membantu Mohamad Syabil Wafiy (berbaju hitam) menyusun dokumen ketika hadir pada sesi pendaftaran pelajar baharu PSP untuk semester 1, 2023/2024, di Permatang Pauh, Pulau Pinang, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERMATANG PAUH: ‘Ke mana tumpah kuahnya jika tidak ke nasi.’

Peribahasa itu sesuai bagi menggambarkan situasi seorang anak yang mewarisi bakat atau kecenderungan bapanya selain menjadikan lelaki tersebut sebagai sumber inspirasi dalam kehidupan.

Bagi pelajar Politeknik Seberang Perai (PSP) di sini, iaitu Mohamad Syabil Wafiy Mohamad Yusri, 18, dia bukan sahaja mengikut jejak bapanya, Mohamad Yusri Kamaruddin, 40, untuk belajar di situ, malah mengikuti kursus yang sama dengan bapanya itu pada semester berbeza.

Mohamad Syabil Wafiy adalah pelajar baharu bagi kursus Kejuruteraan Elektronik Komunikasi di PSP manakala Mohamad Yusri pula ketika ini merupakan pelajar semester kelima kursus berkenaan.

“Teruja dapat belajar sekali dengan ayah di politeknik sama. Sebelum ini, saya sempat belajar lebih sebulan di Kolej Matrikulasi Gopeng (Perak) dan merasai suasana kampus.

“Namun sebaik sahaja diberitahu rayuan saya untuk ke poli (PSP) ini diluluskan, terus saya pilih sambung belajar ke PSP seperti ayah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semasa sesi pendaftaran pelajar baharu PSP bagi sesi 1, 2023/2024, semalam.

Bagi Mohamad Yusri pula, dia tidak pernah memaksa anaknya untuk mengikut jejaknya belajar di politeknik, sebaliknya hanya meyakinkan anak sulung daripada lima beradik itu bahawa kursus yang ditawarkan oleh institusi terbabit sentiasa memenuhi kehendak pasaran khususnya dalam bidang teknikal.

“Saya sendiri mula mengikuti kursus sijil di politeknik ini sejak 2001 sebelum bekerja dalam sektor kerajaan dan kini ditawarkan skim biasiswa untuk penjawat awam sambung belajar secara sepenuh masa.

“Jadi, saya ambil peluang itu untuk sambung belajar di politeknik kerana jiwa saya masih setia dengan politeknik,” kata anak jati Ipoh, Perak itu yang mencabar anak sulungnya untuk merekodkan prestasi lebih baik untuk kursus terbabit pada setiap semester selepas ini.

Dalam pada itu, pasangan kembar tidak seiras, Siti Rohani Muhamad dan Siti Rohaiyu juga tidak sabar untuk memulakan sesi pengajian baharu di PSP dalam kursus yang sama iaitu Diploma Kejuruteraan Elektronik Komputer di PSP.

“Seronoklah. Dekat sedikit dengan rumah kami di Tasek Gelugor. Senang mak nak hantar dengan ambil kami di sini (PSP). Dulu, lepas habis SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) kami dua beradik terus masuk Kolej Komuniti di Arau (Perlis). Jadi, agak jauh dari rumah,” kata Siti Rohani mewakili adiknya, Siti Raihayu.

Tambah anak ketiga daripada enam beradik itu lagi, walaupun dia dan Siti Raihayu merupakan kembar tidak seiras, namun, kedua-duanya berkongsi minat untuk belajar dalam kursus sama di lokasi sama sehingga ke hari ini.

Sementara itu, Pengarah PSP, Roseliza Shaari berkata, kira-kira 800 pelajar baharu mendaftar untuk mengikuti sesi pengajian bagi semester 1, 2023/2024.

“Saya berharap mereka sudah bersedia mengharungi kehidupan di kampus dan membina kecemerlangan diri. Jadikan ini titik permulaan bagi menghargai jasa ibu dan bapa,” ujar beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN