PETALING JAYA: Ahli Parlimen Bachok, Mohd. Syahir Sulaiman mempertikaikan tatakelola yang diperjuangkan oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli ketika bersemuka dalam Debat Model Baharu Ekonomi Malaysia.
Katanya, tatakelola baik tidak selari dengan tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim memegang dua jawatan tertinggi iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
“Tatakelola yang disebut Rafizi agak janggal, saya datang dari Bachok dan di Bachok saya tak jumpa pengerusi masjid dan bendahari masjid orang yang sama.
“Saya tak jumpa pengerusi persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) dan bendaharinya orang sama. Tetapi di bandar mungkin ada, tapi di Putrajaya memang ada, kita jumpa pengerusi dan bendahari orang sama, CEO dan CFO orang yang sama, ini bukan contoh yang baik,” katanya.
Rafizi kemudian membidas kenyataan Mohd. Syahir dengan menyatakan beliau tidak memahami struktur pimpinan dalam pentadbiran kerajaan persekutuan.
“Syahir mengulang-ulang mengatakan kononnya di Bachok ada imam dan bendahari tak boleh orang yang sama. Saya rasa Syahir dan kebanyakan sebelah sana tidak faham aturan kementerian, terutama soal belanjawan dalam perbelanjaan negara antara perbelanjaan mengurus dan pembangunan.
“Belanja mengurus ini belanja gaji, hutang dan sebagainya, tak melibatkan perbelanjaan besar, itu bawah Kementerian Kewangan. Belanja pembangunan untuk projek bina jalan buat bangunan, sekarang bawah Menteri Ekonomi iaitu saya, jadi tak timbul soal Perdana Menteri kawal dua-dua. Kadaan itu berbeza kerana perbelanjaan pembangunan bawah Perdana Menteri.
“Bila Perdana Menteri kawal perbelanjaan pembangunan dan mengurus itu yang jadi masalah, sebenarnya Anwar dari segi kuasa belanja lebih rendah dari saya. Kalau saudara tumpu perhatian kepada perbahasan di Parlimen saudara takkan timbulkan perkara remeh ini, kerana tidak pernah ada Perdana Menteri melepaskan kuasa perbelanjaan pembangunan, hanya Anwar lepaskan kepada saya,” katanya.
Mohd. Syahir kemudian membalas dengan membaca kenyataan lama Rafizi bertarikh 16 September 2015 di akaun Facebook miliknya.
“Saya nak ingatkan di Facebook, Rafizi pernah membawa rang undang-undang (RUU) persendirian yang mana-mana Perdana Menteri tidak boleh jadi Menteri Kewangan. Saya ulang, 16 September 2015, bukan tipu ini, dia pernah sebut Perdana Menteri tak boleh jadi Menteri Kewangan,” katanya sambil disambut dengan sorakan gemuruh daripada penyokongnya. – UTUSAN