KEPALA BATAS: “Semasa serangan Jepun, orang kampung lari lintang-pukang seperti orang gila dalam sebuah parit semata-mata hendak menyelamatkan diri sehinggakan penduduk menggelarkan parit tersebut sebagai ‘parit gila’.
“Daripada penceritaan orang lama-lama, suasana ketika itu amat kelam-kabut dengan serangan peluru yang bertubi-tubi dari tentera Jepun ke atas penduduk kampung.”
Demikian perkongsian Md. Khalil Salleh, 55, mengenai lokasi ‘parit gila’ tinggalan sejarah yang masih tersisa di Kampung Guar Kepah di sini, yang digunakan penduduk kampung terdahulu untuk menangkis serangan tentera Jepun sekitar 1940-an.

Dia berkata, kisah kekejaman penjajahan tentera Jepun terutama di kampung tersebut sekitar 1940-an sering diceritakan bapanya, Salleh Din, 90-an kepadanya sejak kecil sehinggalah sekarang.
Ia katanya, bagi memastikan penghayatan erti kemerdekaan akan terus diterapkan dalam dada meskipun negara sudah mencapai kemerdekaan selama 66 tahun pada 31 Ogos nanti.
“Menurut bapa, ‘parit gila’ adalah bersangkutan dengan salah satu peristiwa yang diceritakan oleh generasi terdahulu semasa Jepun datang menyerang kampung ini sekitar 1940-an,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Dia yang pernah berkhidmat sebagai anggota Angkatan Tentera Malaysia selama 16 tahun berkata, sehingga kini parit tersebut masih lagi kelihatan meskipun sebahagiannya sudah dilitupi semak-samun.
“Parit tersebut masih ada, cumanya keadaannya sudah tidak seperti dahulu disebabkan peredaran waktu selain sebahagiannya dilitupi semak-samun,” katanya.
Menurut anak ketiga dari tujuh beradik itu, sejarah mengenai Jambatan Merdeka yang terletak di Kampung Jambatan Merdeka iaitu dua kilometer dari kampungnya itu turut diceritakan bapanya yang menyaksikan sendiri peristiwa pendudukan Jepun dan British sekitar tahun 1940-an di kampungnya itu.
“Kampung Jambatan Merdeka ini terletak bersebelahan sahaja dengan Kampung Guar Kepah. Segala peristiwa yang berlaku semasa pendudukan Jepun mahupun British di kampung ini ketika itu memang diketahui penduduk kampung.
“Malah, bapa saya turut menyaksikan kekejaman tentera Jepun yang sering menindas dan menyeksa penduduk kampung sehinggakan ada yang dipancung kepala, ditelanjangkan dan banyak lagi kekejaman yang mereka lakukan ketika itu,” katanya.
Sementara itu, Salleh berkata, kekejaman penjajah seperti tentera Jepun ke atas penduduk Tanah Melayu ketika itu disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan dan amat kejam.
“Memang tak dak (tiada) hati perut depa (tentera Jepun) ni. Kalau tak nak ikut perintah depa, kena siap sedia lah (kena seksa). Ada yang sampai kena pancung, kena belasah, kena pijak, kena telanjang depan penduduk kampung. Memang teruk dan kejam tindakan depa tu,” imbaunya yang ketika menyaksikan kejadian itu di usia 20-an.
Dia yang kini banyak menghabiskan masa di rumah bersama isterinya, Eshah Yaacob, 66, berkata, lebih menyedihkan apabila ada di antara konco-konco Jepun terdiri daripada orang Melayu sendiri yang bekerja sebagai pegawai Jepun yang disifatkannya sebagai tali barut.
“Saya sedih lihat orang kita (bukan penduduk kampungnya) sendiri sanggup jadi tali barut Jepun. Turut sama seksa penduduk kampung kalau tidak ikut cakap mereka. Ada kena sepak, terajang, pijak, kena telanjang, macam-macam lagi kekejaman yang mereka buat,” imbaunya lagi. – UTUSAN










