KUALA LUMPUR: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencadangkan agar satu Jawatankuasa Khas ditubuhkan bagi membuat kajian mendalam dan kritikal mengenai persoalan undang-undang Islam yang berbangkit.
Sultan Sharafuddin yang juga Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) bertitah, ini berikutan wujudnya kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk menggubal undang-undang Islam di bawah enakmen negeri serta bidang kuasa mahkamah-mahkamah syariah.
“Beta melihat bahawa terdapat beberapa kes terkini yang sedang berlangsung menggambarkan kedudukan enakmen-enakmen negeri yang melibatkan peruntukan bagi kesalahan-kesalahan jenayah syariah yang semakin tercabar, sekali gus menjejaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah di negeri-negeri untuk membicarakannya.
“Dengan mengambil pertimbangan keadaan yang sedang kita hadapi ini, beta berpandangan, adalah perlu satu Jawatankuasa Khas ditubuhkan bagi membuat kajian yang mendalam dan kritikal tentang persoalan undang-undang yang berbangkit berikutan dari keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan berkaitan kompetensi Dewan Undangan Negeri dalam kerangka yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
“Jawatankuasa Khas ini perlu mengemukakan cadangan pindaan terhadap undang-undang yang berkaitan termasuklah peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan supaya satu penyelesaian menyeluruh terhadap isu-isu tersebut dapat dibuat.
“Beta berharap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) dapat mengambil langkah-langkah segera bagi pembentukan Jawatankuasa Khas tersebut dan mengemukakan syor kepada MKI dan seterusnya Majlis Raja-Raja ke arah penyelesaian kepada permasalahan ini,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali ke-70 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.
Selain itu, Sultan Sharafuddin turut menyentuh mengenai pembangunan industri halal dan menggesa agar urusan pensijilan halal di peringkat domestik dan antarabangsa terus dikekalkan di bawah Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim), Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri sebagaimana yang dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja Yang Ke-222 pada 12 Oktober 2010.
“Beta mahu agar kerajaan Malaysia mengambil langkah strategik untuk menjadikan negara ini sebagai pusat kecemerlangan halal (Malaysia Halal Excellence Centre) terunggul di peringkat dunia. Langkah in penting untuk melonjakkan legasi Malaysia sebagai peneraju halal global demi menjana kemajuan ekonomi umat Islam di Malaysia.
“Beta menyarankan agar pihak kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri melengkapkan keperluan sumber tenaga manusia, infrastruktur dan logistik di Bahagian Pengurusan Halal masing-masing agar pengurusan pensijilan halal dapat dilaksanakan dengan lebih pantas dan berkesan bagi memenuhi tuntutan industri halal pada masa kini tanpa membelakangkan aspek integriti dan perundangan negara.
“Beta menyarankan agar masalah kekurangan bekalan daging halal bermutu ini dapat segera diatasi dan proses mendapatkan pensijilan halal tanpa kerenah birokrasi yang membebankan perlu segera diperkenalkan,” titah baginda. – UTUSAN