GEORGE TOWN: Satu sindiket penipuan online yang berpangkalan di luar negara tumpas selepas polis menahan tiga lelaki tempatan dalam serbuan di dua buah kondominium mewah di Jalan Sultan Azlan Shah dan Persiaran Gurney di sini, Selasa lalu.
Kesemua suspek yang berusia 26 tahun itu disyaki menerima arahan daripada ‘mastermind’ sindiket tersebut yang berada di luar negara menerusi aplikasi Telegram dan dipercayai aktif sejak enam bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, hasil risikan dan pemerhatian, polis menahan seorang suspek lelaki di sebuah kondominium di Jalan Sultan Azlan Shah di sini, pukul 9 malam, Selasa lalu.
“Polis merampas tiga kad mesin juruwang automatik (ATM) pelbagai bank bersama suspek yang digunakan bagi kegiatan penipuan online.
”Susulan penahanan itu, polis menyerbu sebuah lagi kondominium di Persiaran Gurney dan menahan dua lagi lelaki di situ,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, di sini hari ini.
Menurutnya, hasil pemeriksaan di kondominium yang disewa suspek itu, polis merampas 24 buah telefon bimbit; kad ATM pelbagai bank (35 keping); kad prabayar pelbagai syarikat telekomunikasi (40 keping); komputer riba (2); kad pengenalan disyaki palsu (5); 10 unit ‘secure sign token’ dari dua buah bank dan slip transaksi deposit bank tempatan.
”Siasatan awal mendapati sindiket ini diketuai oleh seorang lelaki warga asing yang berpusat di sebuah negara di rantau ini dan dipercayai ahli sindiket tersebut berkomunikasi secara dalam talian menerusi aplikasi Telegram.
”Purata transaksi yang dijalankan sindiket ini antara RM50,000 hingga RM100,000 sebulan dan tiga suspek tersebut pula dibayar upah RM2,500 hingga RM6,000 sebulan termasuk komisen 0.3 peratus bagi setiap transaksi yang dilakukan,” katanya.
Soffian berkata, tiga suspek lelaki itu berperanan mengumpul kad-kad ATM milik pihak ketiga iaitu ‘keldai akaun’ bagi tujuan pemindahan wang hasil dari kegiatan penipuan online.
“Tiga suspek lelaki ini hanya menjalankan tugas memindahkan transaksi wang dalam akaun keldai akaun itu ke akaun lain dan akan ada kumpulan lain pula menghubungi mangsa.
“Antara penipuan yang dijalankan melibatkan tawaran kerja, perkhidmatan seks dan pelaburan tidak wujud. Mereka yang terpedaya akan memasukkan wang ke akaun diberikan iaitu milik keldai akaun seterusnya tiga suspek akan mengeluarkan duit dari keldai akaun dan memindahkan ke akaun sindiket itu,” katanya.
Tambahnya, kesemua suspek direman empat hari bagi membantu siasatan dan kes itu di siasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120 (b) Kanun Keseksaan serta Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990(pindaan 2007).
Dalam perkembangan lain, Soffian berkata, seorang lelaki warga asing berusia 37 tahun ditahan reman selama empat hari kerana disyaki terbabit dalam perbuatan khianat dengan melempar pelbagai jenis barang dari tingkat 15 sebuah kondominium awam di Sungai Nibong, dekat sini.
”Suspek bekerja sebagai buruh binaan dan ujian saringan mendapati dia bebas dari dadah.
”Hasil siasatan mendapati punca kejadian disebabkan suspek mempunyai masalah dengan teman wanitanya dan kes disiasat di bawah Seksyen 290 Kanun Keseksaan (mudarat awam) serta Seksyen 427 Kanun Keseksaan (khianat),” katanya. – UTUSAN