Kerajaan Sabah hentikan jualan air melalui lori tangki swasta

(SIDANG DUN SABAH) Kerajaan Sabah hentikan jualan air melalui lori tangki swasta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Penjualan air melalui lori-lori tangki air swasta telah dihentikan sejak dua minggu lalu bagi memastikan tiada lagi pihak yang mengenakan kadar bayaran berlebihan kepada pengguna.

Maka, ketika ini tiada lagi lori-lori tangki air swasta yang akan menjual air secara terus kepada pengguna.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Shahelmey Yahya berkata, sekiranya ada kawasan yang terputus bekalan air maka, Jabatan Air Ngeri Sabah (JANS) yang akan bertanggungjawab menghantar lori tangki air ke kawasan terlibat.

Begitu juga sekiranya premis-premis kerajaan terputus bekalan air maka, JANS akan menghantar lori tangki air ke premis kerajaan.

“Kita telah menghentikan khidmat lori swasta yang membeli air dan menjual semula ke kawasan-kawasan yang menjadi pelanggan mereka. Kita percaya dengan usaha pemulihan dan penstabilan tekanan air yang sedang kita lakukan maka, perkara ini sepatutnya tidak lagi terjadi.

“Untuk rekod, sejak dua minggu lepas, semua lori-lori swasta yang menjual air telah dihentikan,” katanya semasa sesi soal jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.

Beliau berkata demikain ketika menjawab soalan Datuk Junz Wong (Warisan-Tanjung Aru) mengenai operasi lori tangki air swasta dan adakah kerajaan menyediakan peruntukan kepada pengguna dan industri yang membeli air daripada lori tangki air swasta.

Shahelmey, yang juga Menteri Kerja Raya itu berkata, kerajaan tidak menyediakan peruntukan bagi membayar semula air yang dibekalkan menerusi lori tangki swasta kepada pengguna sebelum ini.

Mengulas lanjut katanya, biarpun peruntukan RM320 juta daripada kerajaan Persekutuan masih belum diterima namun, Kabinet Negeri telah bersetuju untuk memastikan JANS dapat memulakan program-program yang telah dirancang.

Susulan keputusan Kabinet Negeri itu, JANS bersedia melaksanakan lapan inisiatif yang telah dipersetujui dengan jawatankuasa teknikal di Persekutuan.

“Saya ingin tarik perhatian, walaupun peruntukan ini menjadi isu buat seketika tapi, sebenarnya JANS telah memulakan langkah dengan membentuk satu jawatankuasa khas untuk program pemulihan dan penstabilan tekanan air khususnya di kawasan Kota Kinabalu, Tuaran dan Putatan.

“Daripada kerja-kerja pemulihan yang dilakukan pada Jun hingga kini, kita dapat lihat ada peningkatkan kestabilan tekanan air di sekitar kawasan Kota Kinabalu dan agihan bekalan air agak terkawal berbanding bulan-bulan sebelumnya,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN