PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyampaikan sumbangan peribadi kepada waris-waris mangsa nahas dalam insiden pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor pada Khamis lalu.
Istana Negara memaklumkan, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Mejar Jeneral Datuk Zahari Mohd. Ariffin menyampaikan sumbangan itu ketika dalam kunjungan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah dan Masjid Jamek Ar-Rahimiah, Klang hari ini.
Kata kenyataan itu, Zahari turut menyampaikan ucapan takziah Agong dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kepada semua waris dan ahli keluarga di atas pemergian mengejut insan tersayang mereka ke Rahmatullah.
“Seri Paduka berdua turut berdukacita dan menzahirkan harapan agar semua keluarga tabah dan sabar menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu.
“Seri Paduka berdua mendoakan agar roh-roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh,” kata Istana Negara menerusi satu hantaran Facebook hari ini.
Exco Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Johari Harun antara 10 mangsa terkorban dalam kejadian pesawat terhempas di laluan masuk ke kawasan kediaman Elmina di Seksyen U16, Shah Alam.
Pesawat berkenaan dipercayai berlepas dari Langkawi menuju ke Lapangan Terbang Subang.
Selain dua juruterbang pesawat dan enam lagi penumpang, dua lagi terbunuh ialah seorang penunggang motosikal serta pemandu kereta yang melalui kawasan terbabit ketika kejadian. – UTUSAN










