Sekolah khusus anak paling miskin dilaksana tahun depan

Sekolah khusus anak paling miskin dilaksana tahun depan

FADHLINA Sidek ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Sekolah Dalam Hospital (SDH) di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Projek rintis konsep sekolah baharu untuk golongan paling miskin di negara ini seperti dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka boleh dilaksanakan seawal tahun depan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kementeriannya sedang berusaha sedaya upaya bagi merealisasikan hasrat tersebut yang mana pelaksanaan sekolah itu akan melibatkan mekanisme khusus bagi memastikan ianya benar-benar berjaya.

“Kita akan sedaya upaya pastikan menjelang tahun depan dah dibuka. Kita akan mulakan dengan projek rintis sebelum mengembangkannya lagi selepas itu.

“Disebabkan sekolah ini merupakan program khas, mesti ada hala tuju, kaedah dan mekanisme jelas untuk memastikannya benar-benar berjaya. Apabila disebut sebagai khusus untuk anak miskin, pendekatannya juga pasti ada sedikit berbeza dalam usaha menjayakannya.

“Sebenarnya sekolah untuk anak-anak miskin ini memang sentiasa dalam perancangan dan kita akan maklumkan sedikit masa lagi untuk pastikan sekolah ini telah benar-benar siap untuk beroperasi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Sekolah Dalam Hospital (SDH) di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, hari ini.  

Setakat ini terdapat 17 SDH di seluruh negara yang bertujuan menyediakan pusat pembelajaran kondusif, bagi murid yang sedang menerima rawatan di hospital berunsurkan didik hibur dan fleksibel dalam persekitaran kondusif.

Semalam, Perdana Menteri memaklumkan, kerajaan berhasrat memperkenalkan jenis sekolah baharu yang menyasarkan kepada anak-anak daripada golongan paling miskin di negara ini.

Menurut Anwar, pelaksanaan jenis sekolah berkenaan akan berpandukan kerangka sekolah menengah sains serta berasrama penuh bagi membolehkan golongan berkenaan berpeluang mendapat akses pendidikan, walaupun keputusan peperiksaan mereka kurang memberangsangkan.

Sementara itu Fadhlina berkata, pihaknya dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa mencari jalan untuk memperluaskan lagi pelaksanaan SDH di hospital-hospital seluruh negara.

“Kedua-dua kementerian ini sentiasa berbincang namun antara isunya adalah ruang di hospital untuk kita laksanakan SDH ini.

“Ini antara perkara yang dibincang bagi memastikannya dapat diselesaikan, untuk kita laksanakan proses pembelajaran dalam hospital ini,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN