Sekolah Henry Gurney ubah remaja bermasalah jadi pelajar cemerlang

Sekolah Henry Gurney ubah remaja bermasalah jadi pelajar cemerlang

PENGHUNI SHG Telok Mas, Melaka sedang menduduki peperiksaan akademik. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sekolah Henry Gurney (SHG) bukanlah institusi pendidikan arus perdana yang sinonim dengan kecemerlangan apabila keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan setiap tahun.

Ini kerana majoriti identiti pelajarnya yang memperoleh keputusan cemerlang tidak dapat diuar-uarkan atas faktor kerahsiaan, memandangkan ada antara mereka masih menjalani perintah tahanan di situ.

Dalam SPM 2021 misalnya, calon dari sekolah itu berjaya mencatatkan gred purata 4.57 iaitu lebih baik daripada gred purata nasional (GPN) 4.86.

Kejayaan itu merupakan pencapaian SPM terbaik dalam tempoh lima tahun apabila 27 pelajar mendapat keputusan cemerlang 4A dan ke atas.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah SHG Telok Mas, Penolong Komisioner Penjara Zan Azim Aziz berkata, ketika SPM 2022 seorang bekas pelajarnya memperoleh keputusan 7A.

Katanya, individu berkenaan sebelum ini bersekolah di Shah Alam, Selangor dan telah mendaftar untuk SPM 2020 tetapi kesalahan berkaitan seksual yang dilakukan menyebabkannya dimasukkan ke SHG pada Julai 2020.

Jelasnya, SHG sentiasa berusaha memastikan segala keperluan penghuni disediakan sebaik mungkin.

“Ini bertepatan dengan misi Jabatan Penjara, ‘Membentuk Insan Produktif Melalui Pemulihan Efektif, Persekitaran Kondusif dan Pengintegrasian Strategik’. Dalam erti kata pendidikan, kami mempunyai guru-guru lantikan tetap daripada Kementerian Pendidikan seramai 17 orang serta dibantu oleh dua orang guru Mystep.

“Kluster akademik di SHG terdiri daripada tiga kelas iaitu tingkatan empat, tingkatan lima dan membaca, menulis dan mengira (3M),” katanya ketika ditemui.

Tambah Zan Azim, pendidikan sempurna untuk penghuni SHG adalah salah satu keperluan seperti yang termaktub dalam akta mahupun peraturan antaranya Mandela Rules (Rule 104), Henry Gurney School Regulation 1949 (Rule 38, 39) yang menekankan keperluan penyediaan kelas pendidikan dan perpustakaan.

“Kepentingan pendidikan kepada penghuni juga dititikberatkan dalam Peraturan-peraturan Penjara 2001 iaitu Peraturan (151) Kelas Pendidikan, Peraturan (152) Perpustakaan dan Peraturan (153) Bahan Bacaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN