Saya bukan mengada-ngada – Mawar Rashid - Utusan Malaysia

Saya bukan mengada-ngada – Mawar Rashid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KALA INI, kerap sungguh kita didedahkan dengan masalah kesihatan mental dalam kalangan penggiat seni. 

Sehingga ada di antaranya mereka yang mengakui mendengar suara halus menyuruhnya membunuh. 

Namun hakikatnya, tidak semua memahami penderitaan dan masalah yang dihadapi oleh mereka yang sedang berjuang melawan pemikiran asing itu. 

Pelakon, Mawar Rashid antara yang terkena tempias. Pendedahan masalah kebimbangan terlampau (anxiety) dan keresahan sosial sebelum ini bukan sahaja mengundang simpati tetapi ada juga cakap-cakap belakang kononnya dia sekadar mengada-ngada. 

Jawablah mendapatkan sendiri penjelasan isteri kepada Raf Yaakob ini. Mawar, Jawablah!.

Baru-baru ini, Mawar ada berkongsi gambar dengan kapsyen ‘I’m not okay’. Hantaran tersebut menimbulkan tanda tanya, apa yang sedang Mawar hadapi sebenarnya? 

Itu adalah luahan dari hati. Tetapi untuk kongsikan apa yang berlaku, saya belum bersedia. Apabila keadaan dan situasi tersebut beransur pulih, saya akan kongsikan. Memang ada pelbagai reaksi. Ada antaranya risau dengan hubungan saya dan suami. Alhamdulillah, kami bahagia. Cuma masalah itu buat kami berdua tak tidur malam. 

Adakah situasi tersebut berkait rapat dengan pendedahan Mawar sebelum ini yang mengaku menghidapi masalah kebimbangan terlampau dan keresahan sosial? 

Jujurnya tidak, cuma sedikit sebanyak apa yang berlaku memberi impak besar juga. Memang saya dan suami hanya menangis serta memohon agar ujian ini segera diangkat Tuhan. Tetapi saya bersyukur, Raf sentiasa ada dengan saya, Dia adalah tulang belakang, kekuatan saya. Sekali pun dia tidak merungut atau mengeluh berhadapan situasi yang ‘gila’. Doakan baik-baik ya. 

Tetapi pendedahan itu juga turut mengundang cakap-cakap belakang kononnya Mawar sengaja mengada-adakan cerita? Kononnya ada masalah kesihatan mental? Komen Mawar? 

Untuk apa saja sengaja cipta masalah sendiri? Ini bukan perkara yang boleh dibuat main. Ramai rakan artis juga berdepan masalah kesihatan mental. Saya bukan jenis mengada-ngada. Apabila saya rasa ada masalah, saya terus dapatkan rawatan. Sehingga kini, saya masih berjumpa pakar psikiatri. Saya bukan buat-buat cerita demi mendapat perhatian. Saya sendiri berusaha untuk ‘tenangkan’ jiwa yang sakit. 

Setakat ini keadaan Mawar bagaimana? Adakah sudah beransur pulih atau masih berperang dengan emosi? 

Bercakap soal masalah mental, jangan malu untuk dapatkan rawatan. Saya sendiri dapat merasakan perubahan. Seolah-olah ada kehidupan baharu selepas mendapatkan bantuan pakar. Kita tidak boleh self diagnose. Saya pun tak tahu pada awalnya apa masalah. Adakah bipolar, social anxiety atau depression? Kita kena dapatkan nasihat pakar. Dalam masa sama, sistem sokongan itu penting. 

Maksudnya suami dan anak-anak banyak bantu Mawar hadapi masalah kesihatan mental ini? Ya, betul. Bila kita berdepan masalah seperti ini, kita tak boleh hidup seorang diri. Kena cari orang yang boleh dengar luahan, terima kita dengan bulat hati. Dengan itu, kita tidak akan overthinking. Bila saya semakin pulih, saya sedar kehidupan ini sangat indah. Jangan ambil mudah atau sinis. Jangan merugikan masa kita dengan menyalahkan diri sendiri. Dapatkan rawatan segera.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya