ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor tidak ditahan pihak berkuasa termasuk oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) seperti yang didakwa sejak awal malam ini.
Calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri itu berkata, berita mengenai penahanan beliau yang kononnya dilakukan petang tadi sama sekali tidak benar.
“Tak betul tu, saya ada ja (sahaja) kat sini, line clear…,” katanya ketika muncul dalam rancangan siaran langsung di aplikasi TikTok sebentar tadi.
Terdahulu, terdapat laporan menyebut bahawa Ketua Pengarah Pilihan Raya PN itu ditahan polis pada petang tadi.
Spekulasi mula tercetus apabila Muhammad Sanusi tidak dapat menghadirkan diri ke program Sembang Santai bersama calon PN DUN Lunas dan Merbau Pulas di Taman Serai Wangi di Padang Serai, Kulim.
Pada majlis itu, Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrun Othman berkata Muhammad Sanusi tidak dapat hadir kerana isu keselamatan walaupun mendakwa Menteri Besar sudah separuh jalan ke destinasi terbabit.
Sementara itu, Ketua Komunikasi Korporat PDRM Bukit Aman, Asisten Komisioner Skandaguru Anandan turut membuat penafian pihaknya telah menahan atau memanggil Menteri Besar Kedah untuk dirakam percakapan hari ini.
“Tiada pihak dari Bukit Aman, kontinjen Kedah atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Kedah yang melakukan tindakan seperti yang dilaporkan,” katanya. –UTUSAN