Rock keras bebas problematik - Utusan Malaysia

Rock keras bebas problematik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEDULIKAN apa sahaja komen berbaur sindiran yang dilontarkan oleh Matt Healy ketika dia mendapat tahu bahawa kumpulan Muse sanggup menukar senarai lagu yang dirasakan tidak sesuai demi menjaga kelakuan dan hubungan baik mereka dengan peminat di Malaysia.

Hakikatnya, sindiran vokalis kumpulan 1975 itu kekal dangkal dan cuma menunjukkan betapa menyedihkan seorang ‘Matt’ kerana di saat dia berpeluang melakukan persembahan atas nama muzik, namun ruang yang dimiliki itu telah disia-siakan di sini.

Berbanding ‘Matt’ yang itu, Matt Bellamy, vokalis kumpulan Muse serta dua lagi anggota iaitu Chris Wolstenholme dan Dominic Howard lebih selesa untuk memilih kedamaian daripada ‘berperang’ dengan isu-isu tidak berfaedah yang hanya membuang masa.

Matt, Chris dan Dominic mempunyai misi dan visi yang jelas. Mungkin bagi mereka, tumpuan seharusnya kepada konsert jelajah Muse: Will Of The People World Tour 2023, untuk melakukan persembahan muzik dengan sehabis baik dan berpegang pada janji untuk menghiburkan peminat.

Maka, itulah yang dizahirkan oleh Muse ketika mereka menggamatkan Stadium Bukit Jalil, di Kuala Lumpur yang turut menyaksikan Malaysia merupakan satu-satunya destinasi di Asia bagi penganjuran konsert kumpulan rock tersebut.

Di hadapan seramai 50,000 peminat, Muse menterjemahkan rasa galak dan ghairah mereka pada muzik dan bukannya pada kata-kata lekeh yang tidak membawa apa-apa manfaat.

Buktinya, memang minimal benar kata-kata yang keluar daripada mulut Matt sewaktu melakukan persembahan. Cuma sesekali dia akan berkata terima kasih dan mengajak peminatnya menyanyi bersama-sama.

Pendek kata, memang menjaga kelaku. Bimbang agaknya jika terlepas kata tidak manis dan kelaku yang mencela nama baik mereka. 

Pun begitu, ia tidak menjadi satu masalah buat peminat kerana sejak dari awal, yang mereka tagihkan adalah mahu menyaksikan persembahan luar biasa daripada Matt, Chris dan Dominic.

Masakan tidak, di mata peminat yang rata-ratanya berusia 30-an ke atas, ini adalah masanya untuk mereka menonton sendiri Muse beraksi di hadapan mata selepas kali terakhir berkunjung ke Malaysia pada 16 tahun lalu.

Justeru, rasa puas hati seakan sudah terbayar apabila Muse tidak menghampakan lautan peminat yang sememangnya menunggu lama untuk menyaksikan mereka bermain muzik di sini.

Seleksi lagu yang menjadi pilihan Muse untuk dipersembahkan, boleh dikatakan hampir sempurna untuk menjadi halwa telinga penonton yang sejak dari siang harinya telah menunggu untuk masuk ke dalam stadium.

Bermula dari lagu berjudul The Will of The People, Hysteria, Psycho, Map of the Problematique, Through Contagion, Won’t Stand Down dan Kill or Be Killed, Muse sedaya upaya memberikan aksi yang bersemangat buat para peminat mereka.

Tak dilupakan, lagu-lagu berbentuk nostalgia seperti Time is Running Out, Supermassive Blackhole, Plug In Baby, Madness Resistance, Starlight dan Uprising, turut menjadi pilihan Muse untuk persembahan mereka pada malam konsert tersebut.

Larut dalam memori dan selera rock, peminat-peminat yang setia berada di stadium sehingga tamat persembahan nampaknya berpuas hati dengan tenaga dan muzik yang disalurkan oleh Matt, Chris dan Dominic sepanjang malam itu.

Tidak dapat dinafikan, Matt misalnya, walaupun sudah berusia 45 tahun, tenaga dan vokalnya masih sama seperti zaman mudanya. 

Lantunan suara yang tidak kedengaran pancit meskipun semua tahu, lagu-lagu rock Muse memerlukan energi yang tinggi.

Memukau penonton? Itu sudah semestinya. Mahu Muse datang lagi ke Malaysia? Itu juga menjadi antara harapan besar peminat-peminat di sini yang sentiasa dahagakan persembahan muzik luar biasa daripada artis kesayangan mereka.

Pujian wajar diberikan kepada penganjur, Hello Universe kerana berjaya merealisasikan hasrat peminat untuk membawa Muse ke Malaysia. Paling utama, kekal menjaga kelakuan penuh hormat dalam pada larut dengan cinta terhadap muzik keras.

Semoga ada rezeki peminat untuk melihat lebih ramai artis antarabangsa beraksi di Malaysia selepas ini. 

Untuk Muse, terima kasih kerana betah dan akur menghormati budaya dan peraturan kami di sini. Kelak, jemputlah ke mari lagi.

APA KATA PEMINAT?

“Satu-satunya perkara yang tak ‘best’ hari itu, bila peminat kena sidai satu jam setengah sebelum konsert bermula. Tetapi, kami memang sangat puas hatilah dengan persembahan Muse malam itu. Betul-betul ‘world class’. Sistem bunyi  pun betul-betul hebat sampai terasa seluruh stadium padat dengan bunyi. 

“Kadang-kadang ada sesetengah konsert yang kita boleh kata depan bunyi jelas, belakang tak berapa dengar. Tetapi yang ini berbeza.  Duduk zone mana pun boleh dengar dengan jelas. Teramat ‘best’!”

Adam John, pelakon dan pemuzik

 

“Sebagai penonton konsert Muse World Tour di Stadium Bukit Jalil tempoh hari , saya sangat terhibur dengan persembahan mereka. Lagu-lagu yang dimainkan Muse kebanyakannya adalah lagu-lagu kegemaran saya seperti Plug In Baby, Time Is Running Out dan Hysteria.

“Walaupun dari segi bunyi ada sedikit kekurangan tetapi muzik yang dimainkan oleh Muse serta showmanship mereka saya boleh katakan, sempurna. Sorakan para penonton yang hadir dapat dirasai. Saya yakin Muse juga sangat teruja untuk datang lagi membuat persembahan di Malaysia. 

Pelakon, Johan As’Ari

 

“Secara keseluruhan memang mengagumkan. Cuma, dari segi pengurusan masa, agak lambat sikit di mana, selepas band Kyoto Protokol persembahkan lima buah lagu dan tamat pukul 8 malam, penonton dibiarkan menunggu selama satu jam lebih untuk Muse.

“Sistem bunyi, visual dan ‘showmanship’ bagi saya bagus dan Muse juga tak anaktirikan Malaysia dan ‘all out’ sama macam persembahan konsert jelajah mereka di lokasi-lokasi lain. Ketiga-tiga anggota band ini juga tak banyak berkomunikasi dengan peminat, mungkin mereka nak penonton yang hadir menikmati sepenuhnya persembahan mereka.

“Cuma harapan kami sebagai peminat Muse boleh banyakkan lagi seleksi lagu sebab rasa macam sekejap sangat. Saya juga nak tegur segelintir peminat yang mungkin tak sengaja membaling barang kepada artis selepas selesai persembahan penutup. Kalau boleh, jangan sampai membaling bendera, bimbang timbul isu lain pula,”

Pengurus dan Penggiat Industri seni, Raja Nazreen

 

“Walaupun ada isu kena ‘sidai’, tapi bila artis keluar saja, semua orang terus lupakan isu itu. Sebenarnya, ada masalah dalaman dan penganjur pun dah buat permohonan maaf di Instagram. Bagi saya, secara keseluruhan, baik pentas, kesan khas, kamera dan persembahan mereka semua memang puas hati.

“Tiket yang harga mampu milik itu pun tak rugi beli. Muse pun buat persembahan tak ada yang keterlaluan. Pendek kata, mereka memang jaga kelakuan dan pemilihan lagu pun tak ada isu.

“Pujian harus diberikan juga kepada penganjur kerana dalam tempoh sebulan, mereka bawa nama band nama besar untuk buat persembahan di Malaysia iaitu Muse dan Cigarettes After Sex. Akan datang, dalam tahun ini, dengarnya penganjur akan bawa lagi band besar. Kita nantikan sama-sama,”

Pekerja Swasta, Raudhatul Jannah Jalidar

 

“Konsert yang paling ditunggu-tunggu. Muzik dan sistem bunyi yang kedengaran sangat sempurna. Cuma sedikit terkilan sebab Muse tak bawakan lagu Unintended! 

“Ruang juga kelihatan ada lompong. Patutnya buat di Axiata Bukit Jalil supaya nampak lebih padat. Apa-apa pun tak sabar nak tunggu janji Matt untuk datang balik Malaysia!”

Pelakon, Curly Joe

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN