SHAH ALAM: Pekerja merupakan tulang belakang bagi sesebuah organisasi atau syarikat dalam menuju kejayaan. Tanpa mereka, operasi dan produktiviti syarikat pasti akan terganggu.
Bagi Rapid Bus Sdn. Bhd. (Rapid Bus), kapten-kapten basnya diakui memainkan peranan paling penting untuk memastikan operasi bas berjalan lancar dan masyarakat dapat menikmati servis pengangkutan awam yang ditawarkan mereka.
Sehubungan itu, menjaga kebajikan kapten-kapten bas adalah perkara yang dititikberatkan oleh Rapid Bus melalui pelbagai insentif yang bukan sahaja dinikmati oleh pekerja tetapi juga ahli keluarga pekerja mereka.
Kapten bas, Munniandy Munisamy, 54, berkata, beliau memilih untuk bekerja sebagai pemandu di bawah Rapid Bus kerana yakin syarikat subsidiari Prasarana Malaysia Berhad itu sentiasa memastikan kebajikan setiap kakitangannya terjaga.
Selain itu, katanya, pengalaman menarik yang ditimba sepanjang berkhidmat dengan Rapid Bus membuatkan dia ingin kekal berkhidmat dengan syarikat tersebut.
“Saya bekerja dengan Rapid Bus sudah 19 tahun. Sepanjang tempoh masa itu, pelbagai inisiatif dan kemudahan yang diberikan oleh syarikat kepada saya. Antaranya ialah seperti perlindungan perubatan, tambang percuma untuk naik pengangkutan awam di bawah Rapid dan sebagainya.
“Malah, setiap tahun kami sebagai kapten bas akan mendapat bonus dan juga peningkatan gaji tahunan. Jadi, boleh katakan peluang kerjaya di sini amat stabil dan menjamin masa depan saya dan keluarga,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Sependapat dengan Munniandy ialah Naqiudin Syafiq Zaharudin, 35, yang turut memilih bekerja sebagai pemandu Rapid Bus kerana pelbagai manfaat yang ditawarkan oleh syarikat selain peluang untuk memperkembangkan kerjaya.
Katanya, Rapid Bus menunjukkan bahawa mereka benar-benar membantu dan memberi peluang kepada golongan muda sepertinya untuk membina kerjaya.
“Suasana kerja di Rapid Bus benar-benar buat saya gembira, kalau tak gembira sukar juga saya nak bekerja sebab saya perlu berdepan dengan pelanggan. Jadi apabila gembira, servis diberikan kepada penumpang yang naik bas pun berada di tahap maksimum serta memuaskan.
“Bagi saya, Rapid Bus memberi satu peluang kerjaya, bukan kerja semata-mata. Kami boleh mengembangkan kerjaya dan meningkatkan diri bukan sahaja menjadi kapten bas selama-lamanya atau berada di takuk sama untuk satu jangka masa yang lama.
“Tetapi kami diberi peluang oleh syarikat untuk meningkatkan kerjaya sehingga satu tahap yang kami sendiri puas. Bagi saya, memang Rapid Bus ni merupakan pilihan yang tepat untuk membina kerjaya,” katanya.
Naqiudin Syafiq berkata, kerjayanya sebagai pemandu bas juga membantunya memahami dan mempelajari pelbagai perkara termasuk budaya dan sikap setiap penumpang yang datang daripada pelbagai latar belakang, kaum mahupun agama.
“Ikut pengalaman saya sendiri yang membawa bas di laluan 300 iaitu Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) iaitu bukan sahaja saya dapat penumpang daripada masyarakat tempatan sahaja tetapi turut dari luar negara.
“Daripada situ, saya mempelajari untuk bertutur dalam bahasa Inggeris bagi membolehkan komunikasi berjalan lancar. Ia juga mendidik saya untuk sentiasa bertenang terutama dalam zaman yang semua perkara ditularkan di media sosial,” katanya.
Tambahnya, beliau terharu melihat kesepaduan masyarakat di Malaysia, walaupun mempunyai perbezaan dari segi kaum dan agama tetapi perpaduan antara masyarakat jelas kelihatan.
“Setiap hari kami sebagai pemandu bas memang nampak kesepaduan dan keharmonian masyarakat di Malaysia ni,” ujarnya.
Sementara itu, Lee Chan Heng, 58, turut mengakui bahawa pengalaman bekerja di bawah Rapid Bus sebagai sangat menarik dan mengesyorkan untuk generasi muda untuk membina kerjaya sebagai kapten bas syarikat tersebut.
“Apabila kita bekerja dengan Rapid Bus, kita akan tempuh pelbagai pengalaman yang baik. Kita juga diberikan pelbagai kemudahan dan insentif.
“Saya menyangkal gaji sebagai pemandu bas adalah rendah tetapi sebaliknya gaji yang diterima kami sangat okay. Waktu kerja pun tidaklah terlalu berat, kami diberikan dua hari cuti dalam seminggu dan mempunyai dua syif sahaja.
“Kalau saya rasa Rapid Bus bukan sebuah syarikat yang sesuai untuk bekerja, mungkin saya tidak akan kekal bekerja di sini sebagai kapten bas untuk berpuluh tahun. Jadi saya amat syorkan mereka di luar sana untuk membina kerjaya di sini,” ujarnya.-UTUSAN