Rakyat Terengganu perlu kembali mandat kepada Kerajaan Perpaduan - Utusan Malaysia

Rakyat Terengganu perlu kembali mandat kepada Kerajaan Perpaduan

AHMAD Zahid Hamidi melambai tangan kepada peneroka yang hadir pada Program Kesejahteraan Komuniti Felda Madani dan Program Desa Cerdas di Felda Tenang, Besut, baru-baru ini. UTUSAN/KAMALIZA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT : Rakyat Terengganu perlu mengembalikan mandat kepada Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini untuk menyambung semula usaha memajukan pembangunan negeri yang tergendala sebelum ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, gabungan Barisan Nasional (BN) serta Pakatan Harapan (PH) telah menampilkan 32 calon yang berwibawa dan komited untuk menerajui kepimpinan negeri pada PRN yang berlangsung Sabtu ini.

Menurutnya, barisan calon di 32 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu adalah kombinasi muka lama dan baharu yang profesional dan mempunyai kepakaran dengan pelbagai latar belakang yang hebat.

“Kita akan membantu Terengganu memulihkan kelembapan ekonomi,  perniagaan kecil sederhana, ketiadaan peluang pekerjaan baharu, pengurusan air lewa dan pengurusan bencana yang lemah.

“Dalam situasi sekarang pun, Terengganu tidak sealiran dengan Kerajaan Perpaduan kita tetap salurkan bantuan, apatah lagi jika selepas menang PRN nanti, lebih banyak pembangunan yang tergendala sebelum ini dapat diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Kesejahteraan Komuniti Felda Madani dan Program Desa Cerdas anjuran Kemas Negeri Terengganu di Felda Tenang, di sini, petang tadi.

Ahmad Zahid berkata, beliau juga mengagumi semangat pemimpin-pemimpin UMNO di Terengganu yang telah bekerja keras untuk memastikan kemenangan parti.

“Ada yang tidak terpilih menjadi calon, namun saya melihat semangat sayangkan parti sangat kuat dengan membantu calon-calon baharu ini berkempen.

“Insya-Allah pada hemat saya, dengan izin Allah SWT kita akan menang di Terengganu pada Sabtu ini dan membentuk kerajaan negeri pada 13 Ogos,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menegaskan, kerajaan perpaduan sedia maklum bahawa Terengganu berpotensi tinggi menerima limpahan besar daripada industri penyahkarbonan yang sedang dirintis oleh di peringkat pusat ketika ini.

Menurutnya, telaga-telaga minyak yang kosong ekoran kehabisan sumber petroleum di perairan negeri boleh dijadikan sebagai pusat penyimpanan bahan mentah industri teknologi hijau berkenaan.

“Kita mahu menjadikan negara sebagai peneraju ekonomi hijau di rantau ini kerana ia merupakan pelaburan paling besar dunia sejak 2021. 

“Kita juga jelas potensi besar ini untuk dilaksanakan di Terengganu dengan menukar industri minyak dan gas di Kerteh menjadi industri hijau menggunakan telaga minyak sedia ada yang telah kosong.

“Insya-Allah, jika kita membentuk kerajaan negeri nanti yang sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan, kita akan dapat menarik pelabur-pelabur yang berpotensi tinggi untuk datang melabur di negeri ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN