PETALING: Proses pengundian pilihan raya negeri (PRN) di Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan bermula secara rasmi pada pukul 8 pagi ini melibatkan seramai 9,674,456 pengundi manakala bagi Parlimen Kuala Terengganu pula seramai 122,160 orang.
Pengundi dinasihatkan tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir dan mengikut jadual masa keluar mengundi yang digalakkan seperti mana yang tercatat pada aplikasi MySPR Semak.
Bagaimanapun, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari pukul 8 pagi hingga 6 petang atau mengikut waktu pusat mengundi diwartakan.
Sebanyak 3,190 pusat mengundi dan 17,048 tempat mengundi (saluran) dibuka untuk tujuan pengundian serta 153,760 petugas di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan termasuk 1,995 orang bagi Parlimen Kuala Terengganu di 41 buah pusat mengundi yang mengandungi 217 tempat mengundi (saluran).
Tempoh 14 hari berkempen berakhir pada pukul 11.59 malam tadi sejak bermula pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 29 Julai lalu.
Selepas pusat mengundi ditutup, penjumlahan undi akan dilakukan bagi memuktamadkan sama ada gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN) menjadi pilihan pengundi bagi menerajui enam negeri untuk tempoh lima tahun akan datang.
PH-BN yang pertama kali menjalin kerjasama dalam satu pakatan berhasrat merampas dua negeri ditadbir oleh PN iaitu Kedah dan Terengganu selain mengekalkan tiga negeri di bawah penguasaan mereka sebelum ini iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
PN pula yakin kekal di Kelantan,Terengganu dan Kedah dan menyasarkan tiga negeri yang dikuasai PH sekali gus mahu menjadikan kemenangan tersebut sebagai referendum kepada Kerajaan Perpaduan. – UTUSAN