PRN: Bersih lancar #UndiLokal

PRN: Bersih lancar #UndiLokal

BERSIH dengan kerjasama NGO dan portal tempatan melancarkan kempen #UndiLokal sempena enam PRN kali ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan portal tempatan melancarkan kempen #UndiLokal sempena enam pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

Kempen #UndiLokal bertujuan untuk mendorong peratusan keluar mengundi lebih tinggi sebanyak 70 peratus atau lebih dengan menggalakkan pengundi memberi perhatian kepada isu di peringkat negeri dan tempatan.

Pengerusi Bersih, Thomas Fann berkata, pilihan raya akan lebih bermakna apabila peratusan keluar mengundi mencatatkan jumlah yang baik.

Katanya, jika kerajaan negeri dan calon yang dipilih dengan jumlah keluar mengundi yang sedikit, maka ia tidak mewakili sepenuhnya pengundi.

“Kita amat bimbang jika peratusan keluar undi pada PRN kali ini tidak tinggi. Jika lihat (PRN) Sarawak, Johor, Melaka dan Sabah, (peratusan keluar undi) sekitar 10 hingga 15 peratus lebih rendah daripada pilihan raya umum.

“Kada keluar mengundi bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah 74 peratus, jadi (peratusan keluar undi) mungkin sekitar 59 hingga 64 peratus sekiranya tiada usaha yang diambil,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabatnya di sini.

Mengulas lanjut, Thomas berkata, kempen #UndiLokal juga berhasrat untuk mengembalikan tumpuan utama menjelang PRN iaitu isu di peringkat negeri dan tempatan.

Katanya, hal itu penting memandangkan kerajaan negeri yang akan melantik ahli majlis dan ia memberi kesan secara langsung kepada kualiti hidup komuniti dan pengundi.

“Kebanyakan naratif kempen yang dimainkan parti dan ahli politik adalah PRN ini menjadi referendum terhadap Kerajaan Pusat, isu berkaitan nasional, isu 3R (Kaum, Agama dan Raja), ekonomi dan kos sara hidup, tetapi sangat sedikit (isu) fokus bahawa ini adalah pilihan raya di peringkat negeri.

“Sedangkan, ini penting sebab kerajaan negeri yang akan melantik (Ahli Majlis) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebab sesiapa jadi kerajaan negeri ada kuasa itu,” katanya.

Justeru, beliau menambah, PBT yang dilantik akan memberi kesan secara langsung kepada perkhidmatan, pembangunan dan perniagaan di peringkat tempatan.

“Jadi, jika kita mahu melihat perkhidmatan, pengurusan dan pembangunan komuniti yang lebih baik, maka kita perlu mempunyai kerajaan negeri yang baik,” jelasnya.

Pada masa sama, Bersih menggesa orang ramai menggunakan #VoteLokal dan #UndiLokal untuk menyuarakan isu tempatan di kawasan dan tag calon masing-masing.

Orang ramai juga diseru untuk mencipta poster atau rakaman video dan kongsikan dengan hashtag tersebut, selain menggalakkan rakan dan keluarga di enam negeri yang terlibat PRN untuk keluar mengundi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN