PETALING JAYA: Peminat tegar Datuk Seri Siti Nurhaliza yang mesra dikenali sebagai Sitizoners boleh mendapatkan album fizikal Sitism yang mula dibuka bagi sesi pratempah bermula pukul 12 tengah hari ini.
Menerusi makluman di Instagram rasmi penyanyi nombor satu negara itu, Siti Nurhaliza memaklumkan sesi pratempah ini akan diadakan selama seminggu sahaja iaitu bermula hari ini sehingga Jumaat depan.
Difahamkan, cetakan album fizikal sangat terhad kepada 1,000 pelanggan pertama yang turut berpeluang mendapat poster Sitism.
“Album akan dipos kepada pelanggan selepas 12 September depan. Untuk pelanggan dari luar negara, akan disertakan cara tempahan dan pembayaran,” katanya.
Menjengah ruangan komen, rata-rata peminat tidak sabar mendapatkan album tersebut termasuk dari Singapura.
Siti Nurhaliza tampil dengan album baharu degan suntikan linguistik-ism yang bernuansa moden dan kedengaran saintifik, Sitism selepas 27 tahun.
Untuk rekod, sekitar tahun 1996, penjulang trofi Anugerah Juara Lagu (AJL) tiga kali berturut-turut ini pernah muncul dengan album pertama yang mempertaruhkan namanya semata-mata sebagai judul iaitu Siti Nurhaliza.