PETALING JAYA: Keterangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sekali lagi diambil Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri, Mohd. Shuhaily Mohd. Zain ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan perkara itu dan enggan mengulas lanjut kerana siasatan sedang berjalan.
“Ya, saya sahkan,” katanya secara ringkas.
Terdahulu Ketua Penerangan Pejuang, Muhammad Rafique Rashid Ali dalam sebuah video memaklumkan PDRM sekali lagi merakam percakapan bekas Perdana Menteri itu selama 30 minit hari ini.
Kata beliau, anggota Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman telah bertemu beliau di Yayasan Al Bukhary pada pukul 3 petang tadi.
Beliau mendakwa, rakaman itu berkaitan penglibatan Dr. Mahathir dalam program Sidang Meja Bulat Proklamasi Orang Melayu dan sidang media yang diadakan sejurus selepas acara tersebut.
“Seperti mana biasa Tun telah menyatakan bahawa beliau akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis dan akan menjawab kesemua soalan di mahkamah.
“Akhir sekali Tun juga menyatakan bahawa kenyataan beliau kepada polis adalah jelas bahawa mana-mana kenyataan secara bertulis, ucapan beliau dan sebagainya adalah berdasarkan pengalaman beliau sebagai perdana menteri selama 22 tahun, 22 bulan,” katanya.
Muhammad Rafique mendakwa, turut dirakam percakapan adalah bekas Timbalan Presiden Parti Pejuang Tanah Air, Datuk Marzuki Yahya dan bekas anggota parti itu, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan. – UTUSAN










