Polis pantau acara perbarisan Hari Kebangsaan  - Utusan Malaysia

Polis pantau acara perbarisan Hari Kebangsaan 

SEBAHAGIAN daripada peserta yang menyertai Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Langkah Madani 2023 di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu akan memantau acara perbarisan Hari Kebangsaan Ke-66 pada minggu depan bagi memastikan acara itu disambut harmoni tanpa sebarang provokasi.

Ketua Polis negeri, Datuk Mazli Mazlan, berkata, langkah tersebut diambil selepas wujud kebimbangan isu penggunaan logo dan tema berbeza daripada yang ditetapkan kerajaan sebelum ini.

Menurut beliau, pihak yang menyertai acara perbarisan tersebut dinasihatkan agar mengamalkan semangat patriotik ada hari bersejarah itu.

“Pihak polis berharap peserta sama ada individu atau kumpulan meraikan sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 ini dengan penuh semangat muhibbah dan setia pada negara.

“Kita tidak mahu ada perbezaan antara satu sama lain kerana kemerdekaan juga dicapai secara bersama dan elakkan guna logo atau tema yang boleh mencetuskan kontroversi.

“Kita akan memantau dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas jika ada pihak yang cuba membuat provokasi sempena sambutan hari kemerdekaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pelancaran Bulan Kemerdekaan dan Kibar Jalur Gemilang Langkah Madani 2023 di Pekarangan Wisma Persekutuan, di sini, hari ini.

Program membabitkan perjalanan 5.1 kilometer itu disertai 400 peserta terdiri daripada penjawat awam jabatan dan agensi kerajaan persekutuan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan badan bukan kerajaan (NGO).

Dalam masa sama, Mazli menambah, sejumlah 1,500 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan bagi mengawal keselamatan dan lalu lintas sempena perbarisan Hari Kebangsaan Ke-66, Khamis ini.

“Selain itu, pihak polis ingin mengingatkan mana-mana penganjur agar memohon permit bagi kebenaran pertunjukan bunga api sempena sambutan ambang Hari Kebangsaan.

“Bagaimanapun setakat ini, kita belum terima sebarang permohonan permit lagi bagi tujuan itu,” tambah beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya