KUCHING: Polis kini giat memburu tiga lagi individu menggunakan parang dalam satu pergaduhan di Matang, di sini baru-baru ini.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, lapan suspek terdiri daripada lelaki tempatan termasuk seorang daripadanya dipercayai ketua samseng telah berjaya ditangkap.
“Setakat ini tangkapan ke atas suspek berjumlah lapan orang dan kesemuanya adalah lelaki tempatan berusia lingkungan 21 tahun sehingga 51 tahun.
“Bagaimanapun, kita masih lagi mengesan untuk menangkap baki tiga orang dalam kumpulan ini,” katanya kepada pemberita selepas hadir Program Kepolisan Komuniti PDRM di Dewan Masyarakat Kampung Semeba, di sini hari ini.
Jelas Mancha, kesemua suspek yang ditangkap juga mempunyai sejarah dadah berdasarkan semakan rekod lampau.
Pada 21 Ogos yang lalu sekitar jam 1 pagi, seorang lelaki dilaporkan cedera parah di bahagian badan dan kaki selepas dibelasah dalam satu kejadian serangan beramai-ramai dengan parang serta kayu hoki sebelum kesemua suspek melarikan diri.
Mangsa dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan dan kini dalam keadaan stabil, namun masih di bawah pemantauan rapi.
Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang mendatangkan cedera parah menggunakan senjata, dan Seksyen 148 melibatkan elemen rusuhan. – UTUSAN