SIK: Polis menahan seorang lelaki warganegara Myanmar yang disyaki mencuri sebuah motosikal di hadapan Pasar Mini Anak Yatim, Pekan Sik, kira-kira pukul 4.12 petang semalam.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Abdull Razak Osman berkata, video kes kecurian motosikal jenis Yamaha Y16 dan suspek dipukul oleh orang awam itu telah tular di media sosial sehingga kini.
“Pada pukul 2.09 petang, terkesan satu video berdurasi 23 saat dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Twitter yang memaparkan seorang lelaki ditahan oleh orang awan disyaki pencuri.
“Ketika pengadu sedang bekerja di pasar mini tersebut, kawan sekerjanya memberitahu motosikal warna biru miliknya yang diletakkan di luar kedai telah diambil orang,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, pengadu segera keluar untuk melihat dan mendapati seorang lelaki yang tidak dikenali telah menaiki motosikalnya sambil menolak serta memakai topi keledar miliknya.
Pengadu terus menahan suspek tersebut dan dibantu oleh orang awam yang berada di situ, kemudian suspek berusia 29 tahun itu diserahkan kepada pihak polis.
“Hasil siasatan awal mendapati, suspek yang masih bujang itu mengaku mencuri motosikal itu untuk dibawa balik ke Pulau Pinang dan dia juga tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.
“Suspek telah direman di bawah Seksyen 177 Kanun Prosedur Jenayah selama tiga hari bermula dan kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959,” katanya. –UTUSAN