KUALA LUMPUR: Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) menyasarkan kutipan dana RM100,000 untuk disalurkan kepada ahlinya yang sedang terlantar sakit, hilang punca pendapatan akibat penyakit kronik dan meringankan beban kehidupan seharian akibat kurang tawaran lakonan.
Bagi tujuan itu, Timbalan Presiden PKAVM, Sandakiah Azez berkata, pihaknya menganjurkan Malam Amal Sepanjang Jalan Kenangan pada 9 September depan di Pusat Konvensyen Antarabangsa, Melaka.
Jelasnya, setakat ini, seramai 20 ahlinya terlantar sakit dan sebahagian dana juga akan diperuntukkan bagi program pembangunan modal insan, memberi peluang kepada ahli untuk meningkatkan prestasi dan imej.
“Banyak program sedang diatur sepanjang tahun ini dan depan bagi manfaat ahli seramai 200 orang yang sudah berusia 50 tahun ke atas.
“PKAVM juga berhasrat membawa program malam amal ini menjelajah ke seluruh negara dan sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak,” katanya dalam sidang akhbar di Ampang, semalam.
PKAVM mengalu-alukan sokongan daripada pihak jabatan dan agensi kerajaan, badan korporat, pertubuhan bukan kerajaan serta individu melalui penajaan platinum, emas, perak dan gangsa berharga antara RM10,000 hingga RM50,000.
Turut ditawarkan adalah belian meja antara RM2,000 hingga RM8000; ruang iklan dalam buku cenderamata, tajaan barangan atau sumbangan ikhlas lain.
Antara barisan artis yang bakal menjayakan persembahan penuh nostalgia itu ialah Datuk Khatijah Ibrahim, Datuk Ramli Sarip, Datuk Jefrydin, Datuk Yusni Hamid, Sophia Ibrahim, Hairee Kool dan P. Radhi.