KUALA SELANGOR: Manifesto Perikatan Nasional (PN) kepada rakyat Selangor yang dilancarkan kelmarin disifatkan hanya tokok tambah melibatkan amaun bantuan yang sudah diumumkan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.
Calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang, Mohd. Yahya Mat Sahri berkata, perkara berkenaan antaranya melibatkan amaun bantuan yang hanya ditambah sedikit daripada tawaran PH kepada rakyat.
Menurut Ketua Cabang PKR Tanjong Karang itu, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Sari sudah menyebut soal tambahan peluang pekerjaan dan insentif imam atau masjid dalam manifesto PH.
“Namun, PN pula dilihat hanya menambah jumlah bantuan itu sikit-sikit seperti tiada lagi idea baharu untuk ditawarkan mereka,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia, semalam.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan bantuan bulanan RM400 bagi pembelian barangan asas kepada 65,000 keluarga dan insentif RM500 kepada ibu bersalin di Selangor antara 112 tawaran dalam manifesto PN itu.
Manifesto bertemakan ‘Selangor Baharu, Kita Bangkit’ itu dengan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Selangor bernilai lebih RM2 bilion.
Sementara itu, bekas Timbalan Speaker, Hasnul Baharudin berkata, tawaran tersebut sebahagiannya adalah dasar-dasar utama Pakatan Harapan (PH) yang sudah pun dilaksanakan sepanjang menjadi kerajaan negeri.
“Sebagai contoh dari aspek pendidikan, sekolah tahfiz kita sudah lama buat sejak 15 tahun lalu,” katanya. – UTUSAN










