MELAKA: Kerajaan Persekutuan diminta mempertimbangkan semula permohonan kerajaan negeri untuk menukar status pinjaman kepada geran.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, ini kerana kebanyakan pinjaman dibuat bertujuan untuk menyediakan keperluan asas dan kebajikan serta sosial rakyat yang lebih terjamin.
Menurut beliau, pinjaman-pinjaman berkenaan telah dimeterai sejak 1970 sehingga yang terkini pada 2015.
“Kerajaan negeri mempunyai 50 pinjaman yang masih belum selesai dibayar dengan baki pinjaman pokok berjumlah RM633.31 juta. Pinjaman tersebut dibuat bagi tujuan penyediaan kemudahan asas seperti sumber air mampan, perumahan kos rendah, kawasan perindustrian dan kompleks sukan.
“Justeru, kerajaan negeri sangat berharap agar pihak Kementerian Kewangan dapat mempertimbangkan permohonan ini sewajarnya dengan mengambil kira kemampuan dan keupayaan kewangan kerajaan negeri,” katanya ketika berucap pada Program Jelajah Timbalan Menteri Kewangan I di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Sementara itu, berhubung pemerkasaan generasi muda, Ab. Rauf berkata, kerajaan Persekutuan diminta mempertimbangkan peruntukan sebanyak RM15 juta untuk pembangunan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).
Katanya, sehingga kini terdapat 23 institusi awam TVET yang aktif iaitu dua politeknik, enam kolej komuniti serta sebuah Institut Kemahiran MARA (IKM) dan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN).
“Kerajaan negeri percaya Melaka akan menjadi pusat kecemerlangan TVET yang terunggul dan mampu melahirkan serta membekalkan tenaga kerja mahir yang menguasai teknologi di Malaysia,” ujarnya. – UTUSAN