Pertama kali perarakan berkuda di Perlis - Utusan Malaysia

Pertama kali perarakan berkuda di Perlis

AHLI dari Pertubuhan Berkuda Perlis giat menjalani latihan menjelang sambutan perbarisan dan perarakan hari Kebangsaan peringkat negeri Perlis di Stable Sungai Batu Pahat, Kangar, Perlis, semalam.- UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Buat pertama kali, sambutan perbarisan dan perarakan hari Kebangsaan peringkat negeri di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, Rabu ini bakal dimeriahkan dengan aktiviti perarakan berkuda dari Pertubuhan Berkuda Perlis (Perlis Equus Caballus).

Sebanyak 15 ekor kuda dari negeri ini, Kelantan dan Kedah bakal dibawa menyertai perarakan tersebut sekali gus bakal menarik perhatian ramai pada majlis sempena kemerdekaan itu.

Perarakan berkenaan bakal diketuai Timbalan Setiausaha kerajaan negeri (pembangunan), Rusdi Yahya akan mengibar Jalur Gemilang manakala barisan kedua yang membawa bendera Perlis disertai anakanda kepada Tengku Syarif Temenggong Perlis.

Ketika ini, pasukan berkuda tersebut sedang giat menjalani latihan sejak sebulan lalu bagi memeriahkan perarakan berkenaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Perlis Equus Caballus, Muhammad Amin Hazwan Abdul Hamid berkata, perarakan berkuda tersebut bakal menjadi antara aktiviti yang menarik perhatian sempena perarakan sambutan ambang kemerdekaan tersebut.

Katanya, aktiviti berkuda ini sudah lama menyepi di Perlis dan mereka mengambil inisiatif menghidupkan kembali aktiviti berkenaan.

Ujarnya, latihan menjelang perarakan tersebut terus dipertingkatkan menjelang hari perarakan yang bakal mencipta sejarah baharu.

AHLI dari Pertubuhan Berkuda Perlis giat menjalani latihan menjelang sambutan perbarisan dan perarakan hari Kebangsaan peringkat negeri Perlis di Stable Sungai Batu Pahat, Kangar, Perlis, semalam.- UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB

“Kita mengambil masa lebih sebulan sebagai persediaan menyertai perbarisan dan perarakan hari Kebangsaan peringkat negeri ini pada malam 30 Ogos nanti. Insya-Allah perarakan berkuda bakal menjadi antara tarikan pada malam berkenaan,” katanya.

Tambah Muhammad Amin, aktiviti berkuda kembali menjadi perhatian di negeri ini yang semakin mendapat perhatian ramai.

“Kita hendak hidupkan kembali aktiviti berkuda di negeri dan aktiviti perarakan tersebut bakal memberi tarikan kepada pengunjung,” katanya.

Ahli pertubuhan berkenaan, Maggie Lee,31, pula berkata, dia menyertai aktiviti berkuda sejak tahun 2020 dan banyak kemahiran boleh dipelajari dengan aktiviti berkenaan.

“Saya tidak sabar menyertai perarakan berkuda sempena merdeka ini kerana ia pengalaman pertama kali saya,” katanya yang merupakan seorang guru.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya