Peratus undi rendah dapat dielak jika serentak dengan PRU15 -

Peratus undi rendah dapat dielak jika serentak dengan PRU15 -Nurul Izzah

NURUL IZZAH ANWAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peratus keluar mengundi yang rendah pada pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini dapat dielakkan sekiranya ia diadakan bersama-sama dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berkata, keputusan PRN ini menunjukkan Pas sudah berjaya menusuk kalbu ke dalam hati pengundi-pengundi muda.

“Saya akui sendiri terkhilaf kerana tidak mahukan PRN diadakan bersama dengan pilihan raya umum.

“Ternyata, melaksanakan kedua-duanya bersekali mampu menghasilkan momentum yang perlu bagi meraih peratus keluar mengundi yang maksimum,” katanya menerusi satu hantaran di Instagramnya.

Keputusan PRN kali ini mengekalkan kedudukan status quo di enam negeri dengan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) menang di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Perikatan Nasional (PN) pula terus menerajui Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Bagaimanapun, PN dilihat berjaya menembusi dan merampas kerusi di tiga negeri yang diperintah PH-BN.

Untuk rekod, jumlah keluar mengundi dilaporkan rendah apabila kebanyakan negeri mencatatkan peratusan sekitar 60 peratus.

Hanya Terengganu merekodkan 70 peratus, namun, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih belum mengeluarkan sebarang peratusan keluar mengundi rasmi terbaharu setakat ini.

Nurul Izzah berkata, Kerajaan Perpaduan juga kehilangan masa daripada melaksanakan inisiatif-inisiatif untuk negara apabila menumpukan tumpuan kepadan kempen PRN.

“Kita juga melihat fokus berkempen sewaktu PRN merampas masa Kerajaan Perpaduan daripada proses pelaksanaan perancangan Ekonomi Madani, Pelan Transisi Tenaga Kebangsaan, Inisiatif Gaji Progresif serta Perancangan Industri Kebangsaan (Akhir Ogos) yang penting dalam membangunkan ekonomi negara,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mendesak agensi komunikasi kerajaan diperkukuh supaya inisiatif, kejayaan dan usaha murni Kerajaan Perpaduan sampai secara terus kepada rakyat.

“Kita seolah-olah masih dalam kerangka minda pasungan pandemik apabila pengundi memperlihat kecemasan ekonomi dan kos sara hidup secara konsisten serta berterusan walaupun statistik menunjukkan penurunan inflasi ekonomi.

“Jangan lupa, pertarungan akan tiba lagi nanti. Maka, usaha memenangi hati dan mendengar denyut jantung rakyat berjalan terus,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN