TELUK INTAN: Pengguna jeti bot di Dataran Udang Galah, Jalan Mahkota di sini meminta pihak berkenaan mempercepat kerja membaiki titi yang menghubungkan pelantar dengan jeti di Sungai Perak, yang sudah patah.
Pelantar dan jeti itu digunakan untuk kaki pancing, nelayan memunggah hasil tangkapan dan pengusaha bot sewa membawa pelancong.
Titi untuk ke jeti tersebut patah sejak sebulan lalu menyebabkan pengguna tidak dapat untuk ke jeti menaiki bot.
Seorang pengguna jeti, Ahmad Sawai Abu Bakar berkata, jeti berkenaan perlu dibaiki segera untuk kemudahan orang ramai yang menggunakannya.
Katanya, disebabkan titi ke jeti itu sudah patah, antara yang terjejas ialah pengusaha bot pelancong dan nelayan serta pelancong yang mahu menerokai keindahan Sungai Perak dan Pulau Burung, serta kaki pancing.
“Pelancong luar terkejut dan kecewa melihat keadaan jeti ini dan juga nelayan sukar untuk membawa naik hasil tangkapan mereka.
“Keadaan ini juga menjejaskan imej pelancongan di kawasan ini apatah lagi Teluk Intan semakin ramai didatangi pelancong,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, perkara itu sudah dimaklumkan kepada pihak berkenaan dan berharap titi yang patah segera dibaiki.
“Antaranya aduan dibuat kepada Jabatan Perikanan kerana jeti ini antara jeti untuk memunggah hasil tangkapan nelayan.
“Pemilik bot juga sukar untuk melabuhkan bot mereka di tempat lain dan ini menimbulkan risiko bot mereka dihanyutkan arus deras,” katanya. – UTUSAN